Hot !

Bunyi Harimau Mengaum Luar Rumah

Salmah (kiri) menunjukkan punca air yang terletak berhampiran rumahnya dan dikatakan menjadi sebab kehadiran harimau.


BUKIT MERAH - Dua beranak hanya mampu berpeluk tubuh ketakutan setelah terlihat dan terdengar bunyi ngauman seekor harimau di pekarangan rumahnya di Kampung Batu 5 1/2 lewat malam.

Saksi, Salmah Basri, 47, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam pada 19 Februari lalu, dia dan anak perempuannya tidur dalam bilik masing-masing sebelum terdengar bunyi lolongan anjing berhampiran kawasan rumahnya.

Menurutnya, bunyi itu turut disusuli dengan bunyi sesuatu sedang menyelinap di sebalik kawasan semak di belakang rumahnya.

Saya mendengar bunyi seakan-akan tapak kaki memijak ranting di belakang rumah saya.

Dengan perasaan bimbang, saya menghendap bahagian belakang rumah melalui salah satu lubang tingkap dan dikejutkan dengan bunyi ngauman kuat berulang kali sebelum melihat seekor harimau di pekarangan rumah,? katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Salmah berkata, di sebalik celahan lubang tingkap, dia melihat haiwan itu dengan jelas berikutan keadaan malam itu agak cerah disebabkan fenomena bulan penuh.

Jelasnya, haiwan itu mengaum berulang kali selama beberapa minit diselangi bunyi lolongan anjing.

Sebaik haiwan itu beredar beberapa minit kemudian, anak perempuan saya keluar dari bilik untuk datang mendapatkan saya dalam keadaan ketakutan.

Anak saya turut memaklumkan terlihat haiwan itu melalui tingkap rumah dan pada malam itu, kami dua beranak hanya mampu berpelukan sambil berdoa kepada Allah SWT agar keselamatan kami terpelihara,? katanya.

Salmah berkata, dia mengenal pasti jenis harimau yang menghampiri pekarangan rumahnya pada jarak kira-kira 20 meter merupakan harimau belang yang mempunyai ketinggian lebih semeter.

Menurutnya, pada malam keesokan harinya, dia dan anaknya terdengar bunyi tapak kaki sesuatu yang berlegar-legar di pekarangan rumah pada jam 12 tengah malam.

Pada malam kedua, saya tidak berani meninjau kawasan pekarangan rumah kerana merasakan bunyi tapak kaki itu datangnya dari haiwan yang sama.

Pada malam ketiga pula kira-kira jam 11 malam, saya hanya terdengar bunyi bising dari arah kebun kelapa sawit yang terletak di belakang rumah,? katanya.

Salmah berkata, bimbangkan keselamatan diri dan anaknya, dia memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan sebelum dilaporkannya kepada ketua kampung.

Jelasnya, selepas kejadian berlaku, pegawai Perhilitan dan penduduk ada melakukan pemantauan di kawasan kelapa sawit di belakang rumah untuk menjejaki harimau berkenaan.

Namun, kesan tapak kaki harimau itu tidak dijumpai memandangkan keadaan panas terik manakala tanah kering," katanya.

Salmah berkata, dia tidak menolak kemungkinan kehadiran harimau itu ke pekarangan rumahnya untuk mencari sumber air berikutan terdapat gelung takungan air disediakan pemilik kebun sawit di belakang kediamannya.

Katanya, dia bersyukur haiwan itu tidak menghampiri rumahnya, namun bimbangkan keselamatan diri dan anaknya pada masa hadapan.

"Saya memohon jasa baik Perhilitan untuk meneruskan pemantauan di pekarangan rumah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,? katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Razif Mohd Rashid, 31, berkata, beberapa penduduk dan ketua kampungmembuat pemantauan di pekarangan rumah Salmah pada waktu malam selain menjejaki kesan tapak kaki harimau itu.

Menurutnya, hasil pencarian sejauh 500 meter dari lokasi penemuan harimau, pihaknya ada menjumpai beberapa kesan tapak kaki haiwan, namun dipercayai bukan tapak kaki harimau.

Sebelum ini, beberapa penduduk yang gemar memancing di kawasan berhampiran turut mendakwa terserempak dengan kelibat haiwan dipercayai harimau sewaktu memancing,? katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Noor Hassan ketika dihubungi mengesahkan saksi kejadian melaporkan penemuan harimau kepada Jabatan Perhilitan.

Katanya, sebaik menerima laporan, wakil Jabatan Perhilitan bersama pihaknya segera meninjau lokasi kejadian untuk menjejaki kesan tapak kaki harimau terbabit.

Sumber

0 Response to "Bunyi Harimau Mengaum Luar Rumah"

Post a Comment