Hot !

Akibat memotong di garisan kembar




KUALA PILAH - Dua lelaki dan seorang wanita cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Pilah ? Batu Kikir, berhampiran Kampung Pelangai Hilir, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Hilux, lori Hicom satu tan tanpa muatan dan sebuah motosikal.



Toyota Hilux remuk di bahagian hadapan



Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux berusia 55 tahun patah tangan kanan, manakala pemandu lori Hicom dikenali sebagai Mohd Sidek Baharom, 25, dan penunggang motosikal, Normah Wahid, 53, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada Toyota Hilux dari arah Kuala Pilah ke Batu Kikir cuba memotong sebuah kereta lain di hadapannya.

Menurutnya, lokasi kejadian adalah di selekoh dan di garisan berkembar. Dalam keadaan teragak-agak, pemandu Toyota Hilux cuba memotong sebuah kenderaan lain dan pada masa sama, lori Hicom satu tan datang dari arah bertentangan.

Setelah memasuki laluan bertentangan, Toyota Hilux terbabit hilang kawalan lalu merempuh bahagian tengah lori hingga menyebabkan lori tersebut berpusing beberapa kali sebelum tersadai ke bahu sebelah kanan jalan.

Pada masa sama, motosikal Yamaha LC gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Toyota Hilux yang yang ketika itu melintang di tengah-tengah jalan, katanya.

Kata Azmi, kemalangan itu juga berpunca daripada kecuaian dan sikap pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuala Pilah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jaafar Yusuf ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada jam 4.44 petang.

Tujuh anggota yang diketuai oleh Pegawai Operasi, Mohd Niza Hamzah ke lokasi kejadian dan membantu mengeluarkan pemandu Toyota Hilux yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) menggunakan kenderaan ambulans untuk menerima rawatan, katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, kesesakan jalan raya berlaku di kedua-dua arah sejauh tiga kilometer gara-gara kemalangan itu, namun berjaya dikawal oleh pasukan polis yang bertugas.



Sumber

0 Response to "Akibat memotong di garisan kembar"

Post a Comment