Hot !

Wanita Trauma Disamun Mat Motor




IPOH - Memandu sendirian malam minggu lalu bertukar detik cemas buat seorang wanita apabila cermin keretanya dipecahkan penunggang motosikal dalam kejadian samun di Jalan Lahat, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 51 tahun dari Batu Gajah diserang tiga lelaki menaiki dua motosikal di persimpangan lampu isyarat jalan tersebut.

 


Keadaan kereta mangsa yang dipecahkan kumpulan lelaki bermotosikal dalam kejadian samun di Jalan Lahat, malam minggu lalu



Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Altis dihimpit dua motosikal di kiri dan kanan ketika memberhentikan kenderaannya.

Menurutnya, seorang daripada suspek bertindak memecahkan cermin tingkap bahagian penumpang hadapan menggunakan senjata dipercayai parang dan mengambil beg tangan yang diletakkan di situ.

Sejurus selepas itu, kedua-dua motosikal yang dinaiki tiga lelaki terbabit segera melarikan diri.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak diserang kumpulan lelaki terbabit namun dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas telefon bimbit, dokumen peribadi seperti MyKad dan lesen memandu serta wang tunai dilarikan suspek, katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak mampu untuk mengecam muka suspek kerana ketika kejadian dia berada dalam keadaan panik dan terkejut.

Menurutnya, siasatan berhubung kejadian tersebut masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek terbabit.

Sehubungan itu, kami ingin menasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika melalui kawasan sunyi terutamanya jika membawa barangan berharga dan wang tunai dalam jumlah yang banyak, katanya.




sumber: sinarharian.com.my

Related Posts :

0 Response to "Wanita Trauma Disamun Mat Motor"

Post a Comment