LABIS - Ketiadaan jejantas dan kurangnya kawalan keselamatan di laluan hadapan Sekolah Agama Labis, di sini, menyebabkan pelajarnya seolah bergadai nyawa setiap kali menyeberangi jalan untuk pergi dan pulang dari sekolah.
Ibu pelajar, Fadilah Ahmad, 36, berkata, laluan itu adalah laluan utama menghubungkan Labis dan Muar serta dilalui pelbagai jenis kenderaan terutama kenderaan berat.
Ibu pelajar, Fadilah Ahmad, 36, berkata, laluan itu adalah laluan utama menghubungkan Labis dan Muar serta dilalui pelbagai jenis kenderaan terutama kenderaan berat.
Pelajar sekolah agama terpaksa menyeberangi jalan setiap hari untuk ke sekolah
Jalan ini sibuk terutama pukul 3.30 dan 6.30 petang kerana waktu ini pelajar sekolah ingin pulang dan ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka meletakkan kenderaan di bahu jalan sahaja.
Walaupun bahaya, pelajar terpaksa melintas memandangkan tiada cara lain pergi ke sekolah yang berada di seberang jalan walaupun kenderaan sentiasa bertali arus. Saya sebagai ibu memang risau memikirkan hal ini, katanya.
Fadilah yang berniaga di hadapan sekolah tersebut berkata, tahun lalu anaknya, Nur Anis Nabihah Mohd Sandi, 10, pernah dilanggar lari seorang penunggang motosikal di laluan tersebut.
Menurutnya yang sudah berniaga 12 tahun di kawasan itu, apa dikesalkan apabila terdapat pemandu hanya membunyikan hon ketika melihat pelajar melintas tetapi tidak memperlahankan kenderaan hingga mengundang bahaya.
Bagi Norhasimah Mohd Noor, 52, anak bongsunya, Syakirah Dzulkarnain, 11, menjadi mangsa baharu di laluan tersebut Selasa lalu, apabila dilanggar sebuah motosikal yang dipandu laju dari arah Labis-Muar ketika hendak pulang ke rumah.
Katanya, akibat perlanggaran itu, anaknya tidak sedarkan diri beberapa minit dan dibawa ke Klinik Kesihatan Labis oleh orang awam sebelum dirujuk ke Hospital Daerah Segamat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Isu keselamatan di laluan ini bukan baru, sering dibangkitkan kepada pihak berwajib termasuk sekolah. Setakat ini belum ada kemalangan maut, tapi kita perlu usaha atasi masalah ini.
Bukan semua ibu bapa mampu menghantar dan menjemput anak mereka ketika pergi dan pulang sekolah kerana terdapat ibu bapa bekerja dan terpaksa berserah kepada takdir agar anak kami selamat, katanya.
Menurutnya, dia mencadangkan pihak sekolah mendapatkan bantuan anggota Rela bagi mengawal lalu lintas terutama pada waktu puncak agar keselamatan pelajar lebih terjamin.
Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, dia akan merangka satu jalan penyelesaian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berhubung masalah tersebut.
Saya mungkin akan cadangkan pembinaan lintasan zebra di hadapan sekolah kerana pembinaan jejantas dilihat kurang bersesuaian. Buat sementara waktu, saya meminta ibu bapa dapat mengawasi anak mereka yang pergi dan pulang sekolah, katanya.
0 Response to "Tiap Hari Bergadai Nyawa Ke Sekolah"
Post a Comment