Hot !

Cara Terbaik Lupus Al-Quran: Tanam Atau bakar?






KUALA LUMPUR: Melihat musibah banjir yang berlaku di beberapa buah negeri baru-baru ini, ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya kaedah terbaik untuk melupuskan Al-Quran yang rosak akibat bencana itu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, terdapat dua pandangan iaitu sama ada Al-Quran itu ditanam atau membakarnya dan kedua-dua kaedah tersebut hukumnya diharuskan kerana ia bermatlamat untuk memuliakan Al-Quran atau mushaf.

Dr Zulkifli menjelaskan, mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat, Al-Quran atau mushaf yang rosak perlu ditanam di dalam tanah dengan menggali lubang dan kemudian diitimbus, manakala mazhab Maliki dan Syafie berpendapat ia perlu dibakar.

Beliau mengambil contoh seorang ulama mazhab Hanafi seperti al-Haskafi yang berkata: ?Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah dikebumikan sebagaimana keadaan orang Islam yang mati?.

Manakala Al-Buhuti, seorang ulama dalam mazhab Hambali berkata, jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas, jelas Dr Zulkifli lagi.

Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan (Khalifah) Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulisnya.

Perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat,? katanya dalam satu kenyataan sambil menambah tindakan Saidina Uthman itu tidak mendapat sebarang bantahan.

Bagaimanapun kata Zulkifli, beliau lebih cenderung kepada hujah dari mazhab Syafie dan Maliki yang memilih kaedah membakar.

Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya.

Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hambali,? katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana di zaman yang serba canggih kini telah wujud peralatan moden untuk menghancurkan kertas sehingga menjadi debu atau serpihan halus tanpa menampakkan lagi kalimah dan hurufnya.

Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan Al-Quran daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadis atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas,? ujarnya.

Semalam The Rakyat Post melaporkan, Majlis Fatwa telah memutuskan bahawa kedua-dua kaedah pelupusan naskkah al-Quran yang rosak, sama ada dibakar atau ditanam boleh digunapakai dengan berpandukan beberapa syarat yang ditetapkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992, bagi membincangkan kaedah pelupusan al-Quran memutuskan, al-Quran yang rosak, koyak, tidak boleh dibaca lagi dan juga yang bukan resam Uthmani hendaklah dilupuskan.

Kaedah pelupusan ialah dengan dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal.

Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai.

 

Menurut kepuutusan Majlis Fatwa yang boleh dirujuk di portal rasminya e-Fatwa melalui pautan http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-keba...pusan-al-quran.

Manakala bagi buku agama yang terdapat ayat al-Quran dan Hadis yang rosak juga perlu dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal.

Kerja-kerja pelupusan juga perlu dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam, dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai.

Bagi kaedah pemmbakaran pula, bahan yang mengandungi ayat al-Quran mesti dibakar hingga musnah keseluruhannya tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.

Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat suci al-Quran yang telah dibakar, hendaklah dipastikan dikumpul, supaya tidak ditiup angin atau bersepah, seterusnya ditanam di tempat bersih yang tidak dilalui orang, atau dibuang ke laut atau sungai yang mengalir airnya,

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyiarkan ?Panduan Pengurusan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran? yang boleh diakses secara terbuka di Internet, di llaman web www.jawi.gov.my.

Manakala portal rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN), www.moha.gov.my pula memaklumkan, sebuah syarikat swasta, Percetakan Sufi ada mengendalikan khidmat Pusat Pelupusan Ayat Suci Al-Quran yang boleh digunakan orang ramai. - The Rakyat Post

0 Response to "Cara Terbaik Lupus Al-Quran: Tanam Atau bakar?"

Post a Comment