Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang Ahad lalu masuk hari keenam, semalam, menemui teori baru kemungkinan pesawat itu terhempas berhampiran Teluk Kumai, 20 Kilometer dari sini.
Teori itu dikeluarkan selepas sebahagian besar mangsa, serpihan pesawat dan barangan penumpang kapal terbang itu ditemui di bahagian timur perairan itu.
Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) SB Supriyandi berkata, sejak hari kelima operasi pihaknya membuka sektor baru di sekitar lokasi itu, sebahagian besar mayat mangsa diperoleh di kawasan terbabit.
“Hari ini (semalam) memberikan kita maklumat lebih jelas bahawa pesawat QZ8501 ini jatuh di perairan Teluk Kumai apabila sebahagian serpihan, barang mangsa dan jasad ditemui hanyut di sebelah timur lokasi itu.
“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan koordinat sebenar lokasi pesawat itu jatuh kerana pengiraan lebih teliti harus dibuat pakar,” katanya.
“Selain itu, kami harapkan masyarakat yang tinggal di pesisir pantai khususnya sebelah barat dan selatan Teluk Kumai sehingga ke Tanjung Puting untuk melaporkan segera jika terjumpa barang, serpihan pesawat atau mayat terdampar di pantai. Berbaktilah untuk kemanusiaan,” katanya.
0 Response to "Teori Baru Nahas Pesawat AirAsia QZ8501"
Post a Comment