Hot !

Rosmah Seru Ibu Bapa Menabung Wang







PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan ibu bapa untuk menunjukkan teladan menabung di hadapan anak-anak supaya amalan positif itu menjadi ikutan.

Beliau berkata ia adalah kaedah berkesan untuk mendidik anak-anak seawal usia dalam teknik pengurusan kewangan dan satu kemahiran yang harus ditekankan ibu bapa supaya masa depan kewangan anak-anak mereka terjamin.

"Pada hemat saya, pendidikan yang berterusan dalam bidang pelaburan adalah amat penting memandangkan begitu banyak faedah yang boleh diperoleh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) Anak-anak Permata Negara di sini Isnin.

Rosmah yang juga penaung Program Permata berkata rata-rata rakyat negara kini telah berjaya memperuntukkan sejumlah wang daripada pendapatan mereka untuk simpanan dan tabungan bagi keperluan masa depan.

"Sekiranya amalan menyimpan atau menabung khususnya menerusi pelaburan dalam saham-saham amanah ini diteruskan dan ditingkatkan, rakyat telah sama-sama menyumbang kepada peningkatan tabungan negara," katanya.

Rosmah berkata pelaburan dalam saham-saham amanah merupakan mekanisme yang berkesan bagi mengagihkan kekayaan ekonomi negara secara sama rata.

"Ia juga merupakan instrumen pelaburan yang menarik kerana menawarkan pulangan yang berpadanan dengan risiko pelaburannya.

"Sebagai pelabur kita tidak perlu gusar dan khuatir dengan pelaburan yang dibuat di dalam saham-saham amanah kerana ia diuruskan oleh pengurus-pengurus profesional," katanya.

Rosmah berkata Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) juga bersetuju menyediakan platform ASB2 kepada anak-anak Permata Negara dengan menyalurkan nilai pelaburan berjumlah RM100 atau 100 unit bagi setiap anak-anak Permata.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan sumbangan PNB adalah berjumlah hampir RM1.6 juta yang akan dimanfaatkan oleh 15,492 anak-anak Permata," katanya.

Mereka merangkumi anak-anak dari Pusat Anak Permata Negara, Permata Kemas, Permata Perpaduan dan Integrasi Nasional, Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Taska Tempat Kerja.

Katanya inisiatif PNB dan ASNB tersebut amat bermakna sekali buat anak-anak Permata yang sumbangan pelaburan itu akan menjadi batu loncatan kepada mereka.


- BERNAMA

0 Response to "Rosmah Seru Ibu Bapa Menabung Wang"

Post a Comment