PANGKALAN BUN: Sudah hampir seminggu penerbangan AirAsia QZ850 hilang tetapi pasukan mencari masih belum dapat mengesan kotak hitam penerbangan, walaupun 30 mayat telah ditemui, termasuk beberapa yang masih dalam keadaan terikat di tempat duduk dan serpihan menyerupai bahagian ekor dikesan.
QZ8501: Tentera laut Indonesia menemui mayat yang masih terikat di tempat duduk.. |
Tentera laut Indonesia menemui sekurang-kurangnya lima mayat yang masih memakai tali pinggang keledar dan mengesan serpihan dengan sistem sonar, komander kapal perang Bung Tomo, Kolonel Yayan Sofiyan memberitahu MetroTV.
“Pasukan kami menemui apa yang kita syak adalah sebahagian kecil daripada ekor pesawat,” katanya, Jumaat.
“Ia berada di bahagian dasar laut, pada kedalaman 29 meter.”
Ketua Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bambang Soelistyo, memberitahu media pada malam Jumaat bahawa masih belum dapat disahkan jika objek itu adalah sebahagian daripada ekor pesawat.
Tumpahan minyak juga ditemui di zon merah yang telah diberi keutamaan dalam carian. Zon ini terletak berhampiran dengan Kumai Bay.
Dalam perkembangan berasingan, laluan AirAsia Surabaya-Singapura dan Singapura-Surabaya digantung oleh Kementerian Pengangkutan Indonesia kerana perlanggaran kontrak oleh syarikat penerbangan itu.
Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Jumaat, Kementerian Pengangkutan berkata, AirAsia, berdasarkan kontrak bertarikh 24 Oktober 2014 hanya dibenarkan untuk terbang di laluan Surabaya-Singapura-Surabaya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu, tetapi syarikat penerbangan itu telah didapati terbang di laluan itu pada Ahad.
“Penggantungan itu bermula pada 2 Januari dan akan kekal, sementara menunggu hasil penilaian dan siasatan kami,” kata kenyataan itu, yang ditandatangani oleh jurucakap kementerian, J.A Barata.
“AirAsia tidak pernah memfailkan permohonan untuk menyemak semula jadualnya. Ia adalah melanggar perjanjian,” kata kenyataan itu.
Daripada 30 mayat yang dutemui, empat daripadanya telah dikenal pasti.
Polis berkata, tiga warga Indonesia, termasuk pramugari Khairunnisa Haidar, penumpang Grayson Herbert Linaksita dan Kevin Alexander Soetjipto, telah dikenal pasti berdasarkan cap jari dan rekod perubatan. Ia dikenalpasti selepas identiti penumpang Hayati Lutfiah Hami disahkan.
Pakar antarabangsa dari Perancis, Singapura dan Indonesia yang dilengkapi dengan peralatan pengesanan akustik canggih menyertai pasukan mencari di lokasi kemalangan disyaki di perairan Borneo, bagi memperkukuhkan usaha pencarian kotak hitam pesawat Airbus A320-200 itu.
Tetapi angin kencang dan laut bergelora sekali lagi menghalang carian penyelam ‘untuk menyiasat bangkai pesawat, yang terhempas pada Ahad ketika dalam perjalanan dari bandar kedua terbesar Indonesia Surabaya ke Singapura dengan 162 orang di dalam pesawat. Tiada mangsa selamat telah ditemui.
Pegawai Basarnas memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa usaha carian kini memberi tumpuan kepada kawasan seluas 5 km persegi laut di mana serpihan telah dikesan.
“Lebih banyak bukti dan serpihan ditemui, lebih hampir untuk kita mengesan pesawat,” kata Pengarah Operasi Basarnas S.B Supriyadi.
“Kami memberi tumpuan kepada 5 km persegi laut di mana serpihan timbul. SEbelum ini kami mengambil serpihan di kawasan itu, termasuk gelongsor kecemasan, tetapi serpihan lain muncul.”
Soelistyo berkata operasi pada Jumaat telah memberi tumpuan kepada kawasan seluas 1,575 batu nautika persegi, dengan melibatkan 29 kapal dan 17 pesawat. Ia adalah satu persepuluh saiz carian pada Khamis, yang meliputi kawasan seluas 13,500 kilometer nautika persegi.
“Ada dua tugas utama dalam sektor keutamaan ini: Pertama, untuk mencari bahagian yang paling besar badan pesawat. Tugas kedua adalah untuk mencari kedudukan kotak hitam, atau perakam penerbangan, yang akan dijalankan oleh KNKT (Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan) yang mula bekerja hari ini, ” kata Bambang Soelistyo pada sidang akhbar.
“Para penyelam sudah bersiap sedia di kapal tentera laut Banda Aceh untuk menyelam di kawasan keutamaan untuk mencari badan kapal terbang,” katanya.
“Saya berharap kita akan mendapat hasil yang ketara hari ini.”
Dua kapal yang membawa hidrofon, atau peranti pendengar dalam air, meninggalkan pelabuhan selatan Borneo di Pangkalan Bun pada Jumaat, kata para pegawai Indonesia.
Dua pesawat pengawasan Orion Korea Selatan pada Jumaat mengesan enam mayat, jurucakap tentera udara Indonesia Hadi Tjahjanto berkata dalam satu kenyataan akhbar.
“Selepas menjalankan pemerhatian di kawasan itu selama lebih dari dua jam, pada pukul 11.58 pesawat Orion menemui tiga mayat dalam keadaan duduk dalam satu barisan,” dan tiga lagi hanya ditemui beberapa minit kemudian.
Supriadi berkata hujan turun di lokasi kemalangan yang disyaki pada pagi Jumaat, dengan ombak setinggi 3-4 meter dan kelajuan angin 30-40 knot.
Pesawat itu telah hilang pada 28 Disember 2014, dan serpihan ditemui tiga hari kemudian di selatan perairan wilayah Kalimantan.
Indonesia mengetuai operasi mencari multinasional itu dengan bantuan dari Malaysia, Singapura, Britain, dan Amerika Syarikat. Jepun pada pagi jumaat menghantar dua kapal ke Laut Jawa.
Memandangkan pesawat terhempas di laut cetek, pakar berkata usaha mencari kotak hitam sepatutnya tidak akan menjadi sukar jika isyarat beacon, dengan jarak 2,000 hingga 3,000 meter berfungsi.
Sumber : NewMalaysianPost.com
0 Response to "QZ8501: Tentera Laut Indonesia Menemui Mayat Yang Masih Terikat Di Tempat Duduk Pesawat"
Post a Comment