Hot !

Peniaga Dilarang Ambil Kesempatan

CHENDEORANG BALAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Teluk Intan akan bertindak tegas kepada peniaga-peniaga yang dikesan mengambil kesempatan meletakkan harga barangan keperluan dengan melampau ketika musim banjir.

Ketuanya, Akram Karim Mohamad Arip berkata, walaupun setakat ini, masih tiada kes melibatkan peniaga di kawasan sekitar Teluk Intan meletakkan harga yang melampau, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, tumpuan diberikan di kawasan sekitar penempatan pusat pemindahan banjir di daerah Hilir Perak dekat Chederong Balai yang menempatkan mangsa banjir dari Perak Tengah.


Akram Karim (kanan) melihat barang keperluan dan bekalan makanan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan di SK Yahya Suban.



Anggota penguat kuasa sentiasa membuat pemeriksaan harga di sekitar kawasan ini (Chenderong Balai) dan kawasan lain bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dalam kita sedang mengalami kejadian banjir di daerah Perak Tengah.

Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011,? katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Yahya Suban, di sini semalam.

Pusat pemindahan tersebut menempatkan mangsa-mangsa banjir dari kawasan Daerah Perak Tengah dan sebahagian dari Pematang Pelanduk.

Akram Karim berkata, pihaknya sudah banyak kali memberikan peringatan namun sekiranya terdapat peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka.

Malah katanya, peniaga dan pemborong yang didapati ingkar dengan menjual barangan kawalan dengan harga lebih tinggi daripada harga siling akan berdepan tindakan kompaun dan penjara.

Beliau berkata, Penguatkuasa KPDNKK akan menjalankan pemantauan lebih kerap di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beli-belah bagi memastikan harga bagi barangan tidak dinaikkan sesuka hati.

Katanya, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan kepada KDPNKK sekiranya terdapat peniaga yang sewenang-wenangnya yang menaikkan harga barangan di talian talian bebas tol 1-800-886-800 atau boleh melawat laman web di http://e-aduan .kdpnkk.gov.com atau menghubungi mana-mana pejabat KDPNKK.

Dalam perkembangan lain, Akram Karim berkata, pihaknya sedia membantu mencari bekalan bahan makanan sekiranya ada di kawasan pusat pemindahan banjir kekurangan bekalan.

Katanya, sebagai contoh, sekiranya pusat pemindahan banjir kekurangan bekalan makanan, pihaknya akan membantu mencari dan membeli dari pemborong sebelum diberikan kepada pusat tersebut.

Setakat ini, saya belum ada menerima sebarang maklumat mengatakan ada kawasan di Daerah Hilir Perak kekurangan barangan makanan dan sekiranya ada masalah, kami boleh bantu,? katanya.

0 Response to "Peniaga Dilarang Ambil Kesempatan"

Post a Comment