Hot !

Pengguna Ditipu Setiap Hari







KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa supaya memperketat penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 bagi mengawal harga barangan yang dilihat naik mendadak di sebalik harga bahan api yang semakin menurun.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, harga barangan dilihat seolah-olah langsung tidak terkawal apabila peniaga sesuka hati menaikkan harga.

?Pengguna seolah-olah setiap hari ditipu, ditindas tanpa mengira keturunan, kaum, agama. Kita tengok amalan ini sangat tidak baik, peniaga tidak faham etika, jadi kerajaan perlu tegas ambil tindakan terutama kepada syarikat-syarikat yang besar.

?Sebelum ini harga naik sebab alasan minyak naik, tapi ada juga yang mengatakan harga naik sebab cukai barangan dan perkhidmatan (GST), padahal GST pun belum dilaksanakan lagi," katanya.

Menurutnya, persatuan itu kesal apabila peniaga dilihat menggunakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga barang jualan mereka.

"Tapi bertambah kesal apabila (harga) minyak turun, tapi tiada apa pun barang yang turun harga,? katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kata beliau, kerajaan akan dapat melihat sendiri kenaikan mendadak berlipat kali ganda daripada harga kebiasaan jika kerajaan memantau harga barang secara berterusan.

?Sebagai contoh, harga ayam (melalui maklumat) yang saya terima daripada sumber mengatakan ayam yang cukup cukup besar untuk dijual (daripada penternak) adalah berharga RM3 lebih sahaja. Tetapi harga ini akan naik bermula dari pemborong, mereka akan naikkan sesuka hati dan mereka berpakat-pakat. Ini masalahnya persatuan, mereka ini berpakat naikkan harga.

?Kita mahu pihak kerajaan melakukan pengawasan dengan menggunakan Akta Persaingan untuk mengkaji harga sesuatu barang sehingga menyebabkannya naik mendadak,? ujarnya.

Harga purata ayam di pasaran pada masa ini adalah antara RM6 dan RM8 sekilogram.

Beliau turut mengumpamakan sikap buruk pemborong sehingga menyebabkan harga barang naik mendadak seperti mencuri hak pengguna.

?Jadi kita minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menggunakan Akta Persaingan ini untuk mengekang aktiviti tidak sihat oleh pemborong.

?Peniaga tidak boleh ambil kesempatan atas kesempitan pengguna. Kerajaan perlu memantau dengan mengambil langkah turun padang,? katanya.

0 Response to "Pengguna Ditipu Setiap Hari"

Post a Comment