Hot !

Penerbit Buku Teks Mengaku Tersalah Cetak 'Keluarga Harmoni Gay'






Kuala Lumpur – Penerbit buku teks sekolah yang menggambarkan keluarga harmoni dengan dua lelaki yang dipasangkan sebagai ibu bapa meminta supaya ia dipulangkan kembali bagi membolehkan penukaran buku baru tanpa ada kesalahan dilakukan.

Penerbitan Bagus Sdn. Bhd. dalam entri Facebooknya menyatakan buku Temanku DSKP Sejarah Tahun 4 akan dicetak semula pada masa terdekat kerana terdapat kesilapan di dalam salinan terbitannya yang telah dijual di kedai serta dimiliki oleh murid tahun empat.

“Semua pelanggan, sama ada guru-guru, ibu bapa atau pelajar, boleh memulangkan buku di kedai-kedai buku dalam atau di luar sekolah mereka. Sebagai pertukaran, anda akan menerima Temanku DSKP Sejarah Tahun 4 edisi baru.

“Penukaran adalah secara satu dengan satu iaitu sebuah buku Temanku DSKP Sejarah Tahun 4 dengan sebuah buku Temanku DSKP Sejarah Tahun 4 edisi baru. Sekian, semua kesulitan amat dikesali,” katanya di sini.

Menurut laman web Coconuts KL, pihaknya telah berhubung dengan wakil penerbit dan mengakui bahawa imej keluarga yang harmoni itu adalah hasil daripada kesilapan percetakan dan akan diperbetulkan secepat mungkin.

Menurutnya, wakil penerbit tersebut memberitahu pembetulan akan dibuat kepada semua bahagian yang mengandungi kesilapan, termasuk bahagian yang memaparkan keluarga yang harmoni.

Insiden tersebut mula dikesan oleh laman web berkenaan dengan memaparkan gambar yang dimuat naik pengguna Facebook bernama Zul Violet Angin.

Ia memaparkan gambar bertajuk ‘Keluarga Harmoni’ – rantaian keluarga yang bermula dengan pasangan datuk dan nenek kemudiannya turun kepada sepasang lelaki serta diikuti dengan gambar empat orang anak. – TRP

0 Response to "Penerbit Buku Teks Mengaku Tersalah Cetak 'Keluarga Harmoni Gay'"

Post a Comment