Hot !

Pemandu Teksi Dipenjara 18 Tahun Bunuh Anak Teman Wanita




PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang pemandu teksi yang menyebabkan kematian anak perempuan teman wanitanya yang berumur tiga tahun, lima tahun lalu.

Panel hakim lima anggota yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan terhadap Mohd Fazli Azri, 33, oleh Mahkamah Rayuan.

 


Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap pemandu Teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang didapati bersalah membunuh anak perempuan teman wanitanya tiga tahun lalu. - Foto Yazit Razali

 


Mahkamah Rayuan pada 8 Julai 2013, menjatuhi hukuman penjara 18 bulan terhadap pemandu teksi itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan bagi kesalahan membunuh kanak-kanak perempuan itu dan menggantikannya dengan pertuduhan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Panel berkenaan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd Fazli.

Mohd Fazli kelihatan tenang semasa Hakim Abdull Hamid menyampaikan keputusan mahkamah.

Pada 22 September 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Mohd Fazli bersalah membunuh Syafiah Humaira Sahari, anak Siti Nurhanim Aziz, di sebuah padang bola di Jalan Utama, Kawasan Rumah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, Selangor, pada 6.30 petang, 25 Februari 2010.

Mohd Fazli dituduh membunuh kanak-kanak perempuan itu dengan menendang dan memijak badannya.

- BERNAMA

0 Response to "Pemandu Teksi Dipenjara 18 Tahun Bunuh Anak Teman Wanita"

Post a Comment