Hot !

Pasar raya tutup dua jam menghormati umat Islam menunaikan solat Jumaat







KUALA TERENGGANU - Beberapa pasar raya termasuk kedai makan di sini menutup premis mereka selama dua jam bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bagi menghormati dan memberi laluan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian di dua pasar raya besar di daerah ini, Mydin Mall dan Pasaraya Besar Giant mendapati kedua-duanya tutup sepanjang waktu solat Jumaat dan hanya terdapat beberapa pelanggan wanita yang menunggu ia kembali dibuka jam 2.30 petang.

Pihak pengurusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, MyMart Mydin Sdn Bhd dan Mrt Retail Sdn Bhd melalui kenyataan yang dilekatkan di luar premis itu berkata, premis perniagaan mereka akan ditutup sementara ketika solat Jumaat berkuat kuasa 1 Januari 2015 (semalam).

Ini lanjutan daripada notis yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 21 Disember 2014 dan Majlis Perbandaran Dungun pada tarikh sama yang meminta agar operasi dihentikan buat sementara waktu sepanjang solat Jumaat.

Antara cawangan Mydin yang ditutup ialah Pasar Raya Besar Kuala Terengganu, Pasar Raya Besar Gong Badak, Emporium Kuala Ibai, Mydin Mart Dungun, My Mart dan My Mart Kuala Terengganu,? katanya.

Selain itu, terdapat empat cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) turut menutup operasi iaitu KR1M Ajil, KR1M Pulau Serai, Dungun, KR1M Kuala Terengganu dan KR1M Air Puteh, Kemaman.


Langkah terbaik

Seorang pekerja Pasaraya Besar Giant, Norliza Che Jaafar berkata, tindakan kerajaan negeri mengarahkan semua pasar raya ditutup ketika solat Jumaat adalah langkah yang bagus bagi memastikan semua umat Islam lelaki mengerjakan ibadah itu.

Katanya, sebelum penguatkuasaan arahan oleh kerajaan negeri itu, Pasar Raya Mydin dan Pasaraya Besar Giant dipenuhi pelanggan termasuk daripada golongan lelaki dari lingkungan usia seawal remaja hingga usia 30an dan 40an.

Memang ramai pelanggan lelaki Muslim yang ada di Giant dan Mydin terutama pada waktu solat Jumaat. Sebelum ini, memang keadaan itu begitu berleluasa seolah-olah mereka tidak menunaikan solat Jumaat termasuk ada yang membawa anak-anak.

Saya rasa langkah ini yang terbaik bagi memastikan mereka semua menunaikan solat Jumaat dan tiada yang menghabiskan masa mereka di pasar raya pada waktu itu kerana banyak lagi waktu lain yang lebih sesuai untuk membeli belah,? katanya.


Tak kisah kena tunggu

Sementara itu, seorang suri rumah, Mariza Mohamad, 46 berkata, dia menyokong penuh langkah kerajaan itu bagi memastikan semua umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat pada waktu yang ditetapkan.

Katanya, walaupun dia terpaksa menunggu pasar raya Giant kembali dibuka jam 2.30 petang, itu bukan masalah besar buatnya kerana penutupan pasar raya itu adalah lebih bagus untuk memberi ruang kepada lelaki Muslim menunaikan solat Jumaat.

Saya datang dari Bukit Payong untuk membeli belah di sini. Saya tiba di Giant jam 12.30 dan kebetulan ketika itu mereka sudah tutup premis.

"Jadi, disebabkan malas untuk pulang ke rumah kerana jauh, saya ambil keputusan tunggu sehingga Giant dibuka jam 2.30 petang nanti," katanya.

Kata Mariza, menunggu bukanlah menjadi masalah buatnya kerana yang penting dia tidak mahu lagi nampak golongan lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat berlegar-legar di pasar raya.

Terdahulu, kerajaan negeri mengarahkan semua pasar raya di negeri ini ditutup pada Jumaat mulai 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bermula bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat Jumaat dengan melepak di premis berkenaan.

0 Response to "Pasar raya tutup dua jam menghormati umat Islam menunaikan solat Jumaat"

Post a Comment