Hot !

Lebih berani berniaga lepas daftar







Jamelaturrashydah menunjukkan produk makanannya yang dijual secara online menerusi Instagram dan juga di butik vendor Sweetlittle Mint di Puchong Utama.


KETUA Pegawai Eksekutif Twinsbabylicious Bakery, Jamelaturrashydah Salihan berkata, pengalaman tiga bulan berniaga menerusi media sosial tanpa berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuatkannya tidak tenteram.

Dia yang mula perniagaan menjual kek, biskut dan pencuci mulut pada Mac tahun lalu bimbang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengesan dan mengambil tindakan terhadapnya.

Bukan itu saja, malah ada juga pelanggan tanya sendiri pada saya adakah perniagaan saya berdaftar atau tidak untuk kepastian, namun tidaklah sampai pelanggan itu batalkan tempahan, katanya.

Bagaimanapun, Jamelaturrashydah berkata, Twinsbabylicious Bakery akhirnya didaftarkan dengan SSM pada Jun tahun lalu walaupun dia berniaga untuk mengisi masa lapang.

Saya ambil peluang daftar perniagaan apabila Bank Rakyat tawar pinjaman untuk peniaga di bazar Ramadan bagi menyuntik modal berniaga di situ. Mereka mahu perniagaan berdaftar saja.

Kini, saya lebih berani untuk mengetengahkan dan mempromosikan perniagaan saya," katanya.

Dia berpendapat, jika perniagaannya berdaftar, ia sebenarnya membuatkan bisnes peniaga itu terjamin memandangkan banyak produk tiruan dijual dalam talian (online) pada hari ini.

Peniaga juga berpotensi mengembangkan perniagaan kerana mudah dapat bantuan atau pinjaman, katanya.

Menurutnya, peniaga menggunakan medium laman sosial sepatutnya tidak mempunyai alasan untuk enggan berbuat demikian kerana prosesnya mudah.

Prosedurnya sangat mudah, hanya pergi ke SSM dan daftarkan nama syarikat serta bayar RM60 untuk tempoh setahun. Saya sarankan, mereka yang hendak mendaftar dengan SSM supaya pilih nama syarikat yang sesuai untuk jangka panjang.

Namun semua itu terpulang kepada diri masing-masing untuk daftarkan perniagaan mereka, katanya.

Twinsbabylicious Bakery menerima tempahan kek, biskut dan pencuci mulut untuk cenderahati.

0 Response to "Lebih berani berniaga lepas daftar"

Post a Comment