Hot !

Kakitangan Protes Bantah Penutupan Cyprus Airways




Kakitangan Cyprus Airways bergelut dengan polis ketika melancarkan bantahan penutupan syarikat penerbangan itu selepas didapati bersalah melanggar peraturan bantuan Kesatuan Eropah (EU).

Bantahan itu disertai oleh kira-kira 300 orang kakitangan di perkarangan luar Kementerian Kewangan di Nicosia.

 



Sebahagian kakitangan Cyprus Airways yang melakukan bantahan penutupan syarikat penerbangan itu. Foto:AFP




Pergelutan berlaku semasa beberapa peserta menggempur pusat pemeriksaan polis untuk memasuki bangunan tersebut.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan tidak ada individu yang cedera dalam kejadian itu.

Kesatuan Pekerja Cyprus Airways berkata, mereka akan terus melancarkan bantahan di Istana Presiden.

Kerajaan Cyprus mengumumkan penutupan operasi syarikat penerbangan itu pada Jumaat lalu selepas pengawas selia EU mendapati Kerajaan Cyprus memberi bantuan secara haram untuk memulihkan Cyprus Airways yang kewangannya dalam keadaan tenat.

Menteri Komunikasi, Marios Demetriades berkata, syarikat penerbangan itu sukar untuk diselamatkan sekiraya EU mendapati kerajaan negara itu menyalahi peraturan dalam bantuan sebanyak AS$37 juta untuk meningkatkan modal dan AS$40 juta untuk pinjaman bantuan.

Sementara itu, seorang kakitangan, Nicosia yang dalam keadaan marah sambil mengalirkan air mata berkata: "Saya bekerja selama 23 tahun dalam syarikat. Syarikat ini macam rumah kedua. Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya sekarang," katanya yang bertugas sebagai atendan pesawat.

Beliau menuduh kerajaan Cyprus telah salah urus syarikat penerbangan itu.

"Saya sekarang berumur 43 tahun, siapa yang mahu ambil saya bekerja dalam usia begini," yang bimbang tidak mampu lagi membayar yuran persekolahan anaknya.

Seorang pegawai tiket, Maria, 50 juga sedih dengan nasib dan kehidupannya selepas ini.

"Saya mempunyai dua anak yang masih belajar, saya bimbang apa akan jadi pada bulan depan," katanya dengan linangan air mata.

Kakitangan syarikat penerbangan itu mendesak pembayaran pampasan dan mahu keutamaan pekerjaan diberikan jika syarikat penerbangan baru dengan logo Cyprus Airways akan diwujudkan, seperti yang dicuba lakukan oleh kerajaan negara itu.

Pegawai Kesatuan Pekerja, Vangelis Mappourides berkata, kerajaan perlu membelanjakan lebih AS$39 juta untuk membayar pampasan kepada pekerja termasuk faedah-faedah lain - jumlah yang sama untuk pelan bantuan kepada syarikat penerbangan itu.

Tindakan penutupan syarikat penerbangan itu diselar oleh parti pembangkang yang menyifatkan ia sebagai 'pembunuhan yang dirancang' kerana isu itu boleh dibawa ke Parlimen.

Namun, kerajaan mempertahankan tindakan itu dan penutupan Cyprus Airways tidak dapat dielakkan kerana memiliki hutang yang tinggi serta tidak mampu bersaing terutama pada laluan terpentingnya iaitu Greece dan London. - MalaysiaGazette

0 Response to "Kakitangan Protes Bantah Penutupan Cyprus Airways"

Post a Comment