Hot !

Ibu sanggup beri buah pinggang untuk anaknya.




BAYAN LEPAS - Kasih ibu membawa ke syurga, kata-kata itu ada benarnya apabila seorang ibu di sini sanggup mendermakan buah pinggang untuk anaknya.

Wanita berusia 47 tahun itu mengambil risiko setelah anak kesayangannya mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggang kerana menghidapi penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

 


Zainah (kanan) sentiasa berada di sisi anaknya setiap masa

 


Zainah Hajeed berkata, dia tidak sanggup melihat anaknya itu menderita disebabkan penyakit berkenaan dan semakin lama badannya mengalami kesan yang teruk.

Menurutnya, pada awalnya, Farah Nadia, 23, mengalami penyakit yang mana tubuh badannya menghasilkan jumlah antibodi yang begitu banyak.

“Disebabkan itu ia mendatangkan kesan kepada buah pinggangnya sehingga rosak.

“Kerana itu jugalah saya mengambil keputusan untuk membuat pemindahan buah pinggang kepadanya dengan segera kerana tidak lagi mahu melihat dia menderita,” katanya.

Pada awalnya Zainah memaklumkan hospital mahu melakukan pembedahan pada tahun lalu, namun ia terpaksa ditunda atas sebab kesihatan anaknya itu.

Kedua-dua anak beranak itu sudah pun menunggu hampir lapan tahun bagi membolehkan pemindahan berkenaan dilakukan.

Sehinggalah pada tahun ini, doktor memberi khabar gembira bahawa pembedahan akan dijalankan pada 10 Mac akan datang.

Bukan kerja mudah, Zainah dan Farah Nadia terpaksa bersiap sedia dari awal dan memaksa mereka ke hospital di Kuala Lumpur.

Zainah berkata, dia terpaksa meminjam RM10,000 daripada sanak saudara untuk kos pembedahan kecil anaknya sebelum ini.

“Sekarang saya perlukan pula duit untuk kos pembedahan dan terpaksa membayar sewa dan sebagainya yang mana mungkin satu jumlah yang agak besar untuk saya ketika berada di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Memerlukan perbelanjaan yang agak banyak memaksa ibu tunggal ini bekerja tiga kali sehari.

Sementara itu, Farah Nadia mengakui terpaksa menangguhkan sesi persekolahannya kerana tidak lagi berdaya.

“Sudah lebih setahun saya tidak dapat datang ke sekolah kerana sakit tetapi sekiranya selepas ini saya sudah sihat, saya akan belajar rajin-rajin dan mahu masuk ke universiti.

“Terima kasih kepada emak kerana banyak berkorban untuk saya, tidak tahu cara untuk membalasnya,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu mula dikesan penyakitnya pada tahun 2002 ketika umurnya baru sahaja mencecah 11 tahun.

Dua lagi adik lelaki dan perempuannya kini sudah pun bekerja bagi menampung keluarga.

Presiden Persatuan Ibu Tunggal Pulau Pinang, Latifah Hussainsa berkata, pihaknya memerlukan sumbangan orang ramai bagi membantu keluarga berkenaan.

“Setakat ini memang ada yang membantu namun ia masih belum mencukupi, untuk membantu mereka, anda boleh hubungi saya di talian 013-436 1999,” katanya.



Sumber

0 Response to "Ibu sanggup beri buah pinggang untuk anaknya."

Post a Comment