Hot !

Bahaya Ayahanda Piang, Ayahanda Mandul - Lan Gajah

Berhati-hati dengan perangai Ayahanda Piang dan Ayahanda Mandul di negara ini yang hanya pandai ambil kesempatan menjuarai sesuatu isu tetapi sebenarnya untuk kepentingan diri.

Itu nasihat Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman.

 



Lan Gajah



Piang, menurutnya merujuk kepada sesetengah pihak yang menggunakan nama ayahanda mewakili pertubuhan tidak berdaftar manakala mandul merujuk kepada pertubuhan tidak ada ahli.

"Sekarang semakin banyak pertubuhan muncul dan ketuanya digelar ayahanda tapi mereka Ayahanda Piang dan Ayahanda Mandul. Ayahanda jenis ini hanya pandai 'berkokok' sahaja dan buat laporan polis tetapi tindakan susulan tidak pernah dilakukan. "Mereka ini piang (lembab) dan mandul (tidak ada ahli) jadi nak gerak macam mana," ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Roslan, selepas dikenali, biasanya kedua-dua ayahanda jenis itu mendapat keuntungan untuk individu sahaja.

Susuk yang lebih dikenali sebagai Lan Gajah itu memberitahu, kehadiran kedua-dua jenis ayahanda itu juga memburukkan nama PEKIDA secara tidak langsung. Berbeza dengan PEKIDA, katanya, pertubuhan itu berdaftar dan mendapat pengiktirafan kerajaan serta mempunyai ribuan ahli.

"Satu lagi, cuba check pangkat Datuk atau Datuk Seri yang mereka pakai..suruh tengok mana watikah raja atau yang dipertuan negeri mana yang beri," katanya.

Senario itu, menurut Lan Gajah semakin membimbangkan dan mahu pihak kerajaan berbuat sesuatu bagi mengelakkan ramai orang tertipu.

Sebelum itu, Lan Gajah juga mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjejaki individu yang menggunakan nama Ayahanda Konspirasi yang memghina Ketua Polis Negara dalam laman sosial.

Selain PDRM, individu itu juga memburukkan nama PEKIDA yang menggunakan pangkat ayahanda sebagai pemimpin pertubuhan.

Terdahulu, Lan Gajah berkata, pihaknya baru sahaja menamatkan misi kemanusiaan mangsa banjir di Kuala Kangsar, Perak dan akan memulakan misi ke Pantai Timur dalam masa terdekat.




Lan Gajah (duduk, kanan) bersama ahli-ahli PEKIDA Wilayah Persekutuan dalam misi kemanusiaan di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

"Kami melalui sumbangan ahli-ahli menghantar bantuan makanan dan keperluan harian menggunakan lori lima tan ke Kuala Kangsar," ujarnya.

Dalam minggu ini, tiga buah lori lima tan mengangkut barangan keperluan makanan, pakaian dan keprluan asas kepada mangsa banjir akan dihantar ke Kelantan dan Pahang. Kesemuanya hasil kutipan daripada ahli-ahli PEKIDA Wilayah Persekutuan.--MalaysiaGazette

0 Response to "Bahaya Ayahanda Piang, Ayahanda Mandul - Lan Gajah"

Post a Comment