Hot !

AirAsia X kumpul RM395j melalui terbitan hak










AIRASIA X Bhd bercadang melaksanakan terbitan hak boleh dilepas saham baharu bersama waran percuma, bagi mengumpul sehingga RM395 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan jarak jauh kos rendah itu berkata, pendapatan itu akan diguna untuk mengurangkan beberapa pinjaman jangka pendek sedia ada sehingga kira-kira RM119 juta dan sebagai modal kerja.

Bagi mematuhi penerbitan saham hak, AirAsia X juga bercadang meningkatkan modal saham dibenarkan kepada RM1 bilion, merangkumi 6.666 bilion saham daripadaRM500 juta terdiri daripada 3.333 bilion saham.

"Asas saham yang diperbesar itu dijangka meningkatkan kecairan dan kebolehpasaran saham AirAsia X di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Waran percuma yang akan diterbitkan itu akan membolehkan pemegang saham berkelayakan meningkatkan pembabitan ekuiti mereka pada harga yang ditetapkan lebih awal ke atas tempoh waran berkenaan," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, terbitan hak dicadangkan dengan waran itu dijangka menjana penjimatan faedah kira-kira RM4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Semua cadangan terbabit tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan kemudian dan jika tidak ada sebarang keadaan tidak diduga, cadangan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2015. - Bernama

Sumber

Related Posts :

0 Response to "AirAsia X kumpul RM395j melalui terbitan hak"

Post a Comment