Hot !

Bayi 48 Hari Seolah-Olah Fahami Kesulitan Ibu Bapa Hadai Banjir

KOTA BHARU - Walaupun baru berusia 48 hari, namun Nur Syazwani Zakaria dapat menyesuaikan diri dengan cepat walaupun baru dua hari menghuni pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Kedai Lalat di sini.

Ibunya, Siti Asiah Mohamad Adnan, 33, berkata, berbeza dengan hari pertama mereka sampai di sekolah itu, Nur Syazwani kini nampak lebih ceria.

"Hari pertama dia sering merengek, menangis dan inginkan lebih perhatian, mungkin kerana terkejut dengan suasana bising dan hingar bingar di sini.

"Semalam juga sama, sepanjang hari dia tidak tidur sedangkan jika di rumah dia lebih banyak tidur pada waktu siang dan tidak banyak karenah, " katanya kepada Sinar Harian.

Nur Syazwani antara mangsa banjir paling kecil di SMK Raja Sakti.

Siti Asiah berkata, bagaimanapun Nur Syazwani kelihatan lebih gembira dan selalu menunjukkan reaksi menceriakan ahli keluarganya.

"Mungkin dia sudah dapat sesuaikan diri, mungkin juga dia dapat memahami kesulitan yang sedang dihadapi ibu bapanya," katanya.

Sementara itu, Siti Asiah yang berasal dari Kampung Babong dipindahkan ke pusat pemindahan itu selepas rumahnya dinaiki air Jumaat lalu.

Menurutnya, sejak 33 tahun mendiami kawasan itu, inilah kali pertama kampung tersebut ditenggelami air sehingga menenggelamkan sebahagian rumah penduduk di situ.

0 Response to "Bayi 48 Hari Seolah-Olah Fahami Kesulitan Ibu Bapa Hadai Banjir"

Post a Comment