Gurun:
Kegelisahan seorang ibu apabila anak lelakinya tidak pulang ke rumah dari tempat
kerja seperti kebiasaan terjawab apabila mangsa meninggal dunia kerana terbabit
dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Guar Nenas, dekat sini, semalam.
Dalam
kejadian jam 2.30 petang, pembantu kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu
Lima, Jeniang Basyirun Hassan, 30, maut apabila motosikal ditungganginya
dipercayai terbabas dan tercampak ke atas jalan sebelum dia dirempuh lori tanah
yang kebetulan datang dari arah belakang.
Difahamkan,
ketika kejadian, mangsa yang masih bujang dalam perjalanan pulang dari tempat
kerja ke rumahnya di Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, dekat sini.
Ibu
mangsa, Halijah Kassim, 60, berkata, dia berasa terkilan kerana tidak sempat
menatap wajah anak kedua daripada tiga beradik itu buat kali terakhir
memandangkan arwah keluar rumah untuk ke tempat kerja lebih awal berbanding
kebiasaannya.
“Saya
terdengar dia bangun seawal jam 5.30 pagi tadi (semalam) berbanding hari biasa
kerana dia akan bangun sekitar jam 6 pagi, namun saya tidak mengesyaki
apa-apa.
“Sejurus
selesai menunaikan solat Subuh jam 6 pagi, saya mendapati dia sudah tiada di
rumah dan kakak saya memberitahu bahawa anak saya itu sudah pergi ke tempat
kerja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.
“Saya
mula gelisah kerana kebiasaannya dia akan pulang ke rumah paling lewat pada jam
2.30 petang. Ternyata kegelisahan saya bersebab sebaik saja mendapat panggilan
telefon daripada majikannya memaklumkan bahawa anak saya terbabit dalam
kemalangan jalan raya.
“Hanya
Allah SWT yang tahu perasaan saya ketika itu, namun saya tidak mampu berbuat
apa-apa selain menerima dugaan ini dengan penuh reda,” katanya.
Seorang
saksi yang berniaga di gerai makan berhampiran, Nur Syazwana Marzuki, 17,
berkata, sebelum kejadian dia duduk di dalam kedainya dan dikejutkan dengan
bunyi motosikal terbalik dari arah simpang tiga berkenaan.
Menurutnya,
dia kemudian terdengar suara kanak-kanak lelaki yang kebetulan berada di tepi
jalan menjerit dengan kuat sambil memberitahu bahawa ada orang dilanggar
lori.
“Saya
lantas berlari keluar untuk melihat kejadian dan ternampak lori tanah melintasi
hadapan kedai dipercayai meninggalkan tempat kejadian, manakala penunggang
motosikal terbaring di tengah jalan dalam keadaan berlumuran darah,”
katanya.
Jurucakap
polis berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian dan mayat mangsa
dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani
untuk bedah siasat.
0 Response to "Kegelisahan Ibu Akhirnya Terjawab"
Post a Comment