Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said enggan mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung Terengganu bakal menerima menteri besar baru dalam masa terdekat.
Ditanya mengenai dua nama ADUN yang disebut laporan itu calon menteri besar baru, Ahmad berkata terserah kepada penulis berita tersebut untuk membuat andaian.
“Biarkan dia,” katanya yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Tasik Kenyir semalam.
Akhbar itu antara lain menyebut Ahmad yang dilantik sebagai menteri besar Terengganu selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tahun lepas, menandatangani satu surat yang bersetuju untuk mengetuai kerajaan negeri selama setahun sahaja selepas Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Laporan yang memetik sumber itu berkata Ahmad menandatangani surat tersebut yang turut mensyaratkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN Terengganu kira-kira dua minggu selepas PRU13 pada 5 Mei.
Laporan itu menyebut ADUN Seberang Takir yang juga Exco Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan Adun Air Putih Wan Hakim Wan Ahmad sebagai calon menteri besar baru, lapor Bernama.
0 Response to "TERENGGANU BAKAL TERIMA MENTERI BESAR BARU, ROBIN HOOD ENGGAN ULAS"
Post a Comment