Kisah mengenai nasib pembantu
rumah atau amah yang terpaksa berdepan detik hitam apabila didera secara fizikal
mahupun mental oleh majikan bukan suatu yang asing.
Namun, ia mungkin jarang
dilaporkan ekoran rasa takut atau ugutan majikan terhadap pekerja khususnya
mereka yang bekerja sebagai amah di luar negara.
Bagi merungkai ‘misteri’ keganasan
melibatkan nasib malang amah yang bekerja di luar negara, seorang wartawan
antarabangsa, Karen Emmons berjaya membongkar dan menemui amah yang menjadi
mangsa kes penderaan majikan.
Menerusi kisah yang dikongsi Love
Revolution di Facebook, Emmons yang bekerja dengan seorang jurugambar, Steve
McCurry menyatakan dia menemui sekurang-kurangnya 25 wanita bekerja sebagai amah
yang berkongsi kisah tragis mereka sepanjang mencari rezeki di beberapa negara
seperti Malaysia, Taiwan dan juga Arab Saudi.
Berkongsi detik pahit yang menimpa
mangsa, McCurry (jurugambar) menyatakan dia paling ‘tertarik’ dengan kisah
wanita yang dipanggil gelaran ‘babi’ dan ‘anjing’ atau lebih teruk daripada
panggilan tersebut.
“Saya mendapati ia adalah antara
sifat kemanusiaan yang paling merisaukan.
“Wanita-wanita ini biasanya adalah
tidak berpendidikan, na?f dan hanya cuba untuk mendapatkan kehidupan lebih
baik.
“Dalam kebanyakkan kes penderaan,
mangsa sering takut untuk melaporkan kejadian tersebut kerana khuatir tentang
nasib keluarga, dituduh serta takut dipulau atau dikutuk sekiranya mereka
diketahui dirogol dan tidak menerima wang,” kata McCurry secara eksklusif kepada
program The World, baru-baru ini.
Antara kisah menyayat hati
dikongsi McCurry dalam temubual tersebut membabitkan lima wanita berasal dari
Indonesia dan Filipina termasuk seorang amah bernama Sritak bekerja di
Taiwan.
Menurut McCurry, Sritak bukan
sahaja dipaksa membuat kerja seawal jam 6 pagi sehingga lewat malam, malah turut
dipukul dengan paip besi selepas dituduh mencuri oleh majikannya.
Lebih kejam, majikannya turut
mencurah air panas di badan Sritak, selain pasportnya dirampas dan menghalang
wanita itu berhubung dengan ahli keluarganya.
Akibatnya, wanita yang berasal
dari Indonesia itu mempunyai lebih 20 kesan parut termasuk garis panjang
dibahagian mukanya.
“Tindakan kejam yang sangat tragis
seperti ini tidak boleh dialami sesiapa pun,” kata McCurry lagi.
Sementara itu, penderitaan sebagai
seorang amah dialami Sumasri yang bekerja di Malaysia yang mana dia turut
disimbah air panas mendidih oleh majikannya.
Bagaimanapun, kisah sebenar yang
menimpa Sumasri sering kali berubah setiap kali dia menceritakan kepada orang
ramai.
Malah, jirannya menyatakan Sumasri
yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia dikatakan mengalami masalah
mental.
Lain pula, nasib yang menimpa Anis
(bukan nama sebenar) selepas lima hari tiba di rumah majikannya di Hong Kong,
dia dimaki majikannya dengan panggilan ‘anjing’.
Menjerit dalam bahasa Kantonis,
majikannya menarik Anis ke dapur sebelum mengugut dengan sebilah pisau pemotong
daging.
Anis tersentak tetapi dia hanya
mampu berdiam diri kerana beberapa jarinya ketika itu sudah luka dan tulangnya
juga patah.
Tidak tahan dengan penderaan
tersebut, Anis bertindak melarikan diri dengan bantuan seorang pengawal
keselamatan yang bekerja di rumah tersebut.
Perkongsian kisah sedih juga
dikongsi McCurry yang menceritakan nasib menimpa Haryatin bekerja dengan majikan
yang mempunyai sembilan anak di Arab Saudi.
Seperti mangsa-mangsa lain,
Haryanti turut dipukul dan dipaksa tidur di stor simpanan barang.
Seawal jam 3 pagi, Haryanti
dikerah mencuci pakaian seragam sekolah. Namun lebih malang, majikan pernah
bertindak menyapu lampin bayi yang mempunyai najis ke mukanya ekoran dia lambat
menukar lampin bayi majikannya itu.
Lebih pilu, Haryanti yang berasal
dari Indonesia hilang penglihatan selepas dipukul di kepala menggunakan batang
paip.
Selain itu, hasrat seorang wanita
bernama Siti meninggalkan Indonesia untuk mencari rezeki di Arab Saudi pula
bertukar mimpi ngeri apabila dia terpaksa bekerja selama 20 jam sehari, di
samping tidak diberikan makanan yang cukup dan terpaksa tidur di atas tilam di
bilik penyimpanan.
Malah ketika di Oman, dia pernah
mengadu menjadi mangsa gangguan seksual oleh majikan lelakinya tetapi isteri
majikannya bertindak menampar dan menderanya.
Kisah terakhir dikongsi McCurry
adalah mengenai Mary Grace yang berasal dari Filipina.
Dia bekerja sebagai pembantu rumah
untuk dua majikan di Malaysia. Dia menerima layanan yang baik daripada
majikannya.
Namun, itu tidak memberi jaminan
kepadanya untuk tidak menerima nasib malang apabila dia turut didera secara
seksual oleh seorang petugas di sebuah hospital.
Kejadian berlaku apabila dia
secara tiba-tiba pengsan ketika berada di pasar. Selepas tersedar di dalam
ambulans, dia mendapati dirinya telah didera secara seksual.
Tidak mahu berdiam diri, dia cuba
melaporkan insiden berkenaan kepada jururuwat di hospital terbabit tetapi dia
diarahkan untuk berdiam diri.
Akibat pengalaman ngeri itu, dia
mengambil keputusan untuk meninggalkan Malaysia tanpa sebarang gaji.
Credit
Suara TV
0 Response to "Bongkar Kisah Tragis 6 Pembantu Rumah Didera"
Post a Comment