Ipoh: Seorang doktor gigi ditemui mati tertiarap di dalam longkang di depan kediamannya di Taman Canning di sini, semalam.
Mayat mangsa, P Nanthakumaran, 69, ditemui adik perempuannya jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati, sehari sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumahnya jam 10 malam untuk bersiar-siar.
Menurut Sum, memandangkan hujan lebat malam kelmarin, keluarganya menyangka mangsa tidur di rumah rakannya selepas tidak pulang ke rumah.
“Pagi ini (semalam), ketika adik mangsa yang berusia 67 tahun mahu membuang sampah, dia ternampak mangsa tertiarap di dalam longkang.
“Dia kemudian memaklumkan kejadian kepada kami,” katanya.
Sum berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa pulang ke rumah lewat malam kelmarin.
“Mangsa dikatakan meletakkan kenderaannya di depan rumah sebelum keluar. Ketika berjalan dalam hujan lebat, mangsa terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan kira-kira 20 meter,” katanya.
Sum berkata, kunci pintu pagar dan payung milik mangsa turut ditemui berhampirannya.
“Wang, telefon bimbit, jam tangan dan barang peribadi mangsa masih ada bersamanya. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - Harian Metro
0 Response to "Doktor Gigi Tertiarap Dalam Longkang"
Post a Comment