Penulis blog Shahabudin Husin dipanggil
oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam untuk memberi
keterangan berhubung tulisan dalam blognya berkaitan Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Zahid Hamidi.
Anggota Umno itu memberi penjelasan
berhubung tulisannya pada 20 September bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke
Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".
Shahbudin berkata beliau disiasat oleh
SKMM bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan ia
kali pertama dipanggil berbuat demikian.
Menulis dalam blognya hari ini,
Shahabudin berkata sehari sebelum itu, kakitangan SKMM datang ke rumahnya untuk
menghantar surat arahan kehadiran supaya beliau mematuhi perintah yang
dikeluarkan.
"Sebelum diambil keterangan, saya
dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SKMM bahawa saya disiasat bawah Seksyen 233
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
"Saya menjelaskan kepada pegawai SKMM
bahawa artikel yang ditulis itu lebih berupa pertanyaan dan bukannya tuduhan
kepada Zahid Hamidi memandangkan ia sudah menjadi perbualan ramai sebelum itu,"
tulis Shahbudin.
Menurutnya, beliau memberi keterangan
kepada suruhanjaya itu selama dua jam.
Seksyen 233 memperuntukkan seseorang
melakukan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau
perkhidmatan rangkaian yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau setahun
penjara atau kedua-duanya.
Shahabudin berkata artikel yang
ditulisnya itu lebih kepada pertanyaan dan bukannya tuduhan bagi membolehkan
Zahid atau pegawainya menjawabnya.
Katanya, hal ini sama seperti yang
berlaku kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke majlis
persandingan anaknya di Kazakhtan pada April lalu.
Menurutnya lagi, beliau turut
memaklumkan satu perenggan dalam tulisannya bahawa beliau memohon penjelasan
daripada Zahid bagi mengelakkan fitnah dan salah faham berhubung perkara
itu.
"Sebagai penulis, saya hanya
membangkitkan apa yang menjadi perbualan ramai itu...
"Ketika menjadi wartawan dulu, saya
pernah sekali diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai penulisan
berkaitan Korea Utara.
"Semua cabang dan jalur kehidupan pada
hakikatnya ada cabaran masing-masing serta kerikil-kerikil yang mesti dilalui,"
katanya.
Dalam tulisanya juga, Shahabudin
mendakwa bahawa aduan kepada SKMM dibuat oleh pembantu Zahid.
Malaysiakini telah menghubungi
pejabat Zahid untuk mendapatkan maklum balas.
Malaysiakini
0 Response to "SKMM siasat bloger, posting kahwin anak lelaki Zahid"
Post a Comment