Sekumpulan
pelajar telah menyatakan keraguan mereka terhadap keupayaan kerajaan untuk
mengendalikan kesepakatan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang
dicapai semalam.
Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ??berkata, ia tidak berpuas hati
dengan "skrip jawapan" yang diberikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai TPPA.
"Mana
mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA,
sedangkan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan
tertinggi negara pun kerajaan tak mampu mengendalikannya," kata Presiden PKPIM,
Mohammad Fazril Mohd Saleh.
"Inikan
pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar dengan peruntukan
perundangan ISDS dalam TPPA ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa
berkata semalam bahawa kebimbangan dan sentimen Malaysia akan dipertimbangkan
dalam TPPA.
"Cukuplah
kami dijanjikan oleh para menteri tentang kebaikan GST dan ia akan beri kesan
baik kepada rakyat," katanya sambil menambah bahawa kerajaan sendiri gagal
mengawal kesan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST.
Tegasnya,
sekiranya ia tidak dapat mengawal GST, bagaimana kerajaan boleh berharap untuk
mengawal harga barang-barang selepas TPPA.
"Kami
meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai
masa depan kami," katanya.
Menurutnya,
PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak
kerajaan dalam isu ini, walaupun kesepakatan sudah dicapai oleh kesemua
perunding terbabit.
Rundingan
TPPA bermula pada tahun 2010 dan telah mencapai kesepakatan di Atlanta, Amerika
Syarikat, semalam.
Dikatakan
bahawa TPPA akan mengurangkan halangan perdagangan dan menetapkan standard yang
sama untuk 12 negara itu.MKINI
0 Response to "PKPIM ragu pengendalian TPPA oleh kerajaan"
Post a Comment