Kluang :
“Dia jarang makan sebegitu banyak sehingga ditegur suaminya,” kata Som Neemat,
67, ibu kepada Suziyani Samat, 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 18,
Jalan Kluang-Teck Wah Heng, di sini, pagi semalam.
Som
berkata, Suziyani sempat singgah di rumahnya di Kampung Kolam Air, Simpang
Renggam, kelmarin selepas tamat bertugas jam 5 petang dan membawanya makan soto
dan pisang goreng di gerai berdekatan.
“Dia
makan seperti orang kelaparan dua tiga hari dan selama ini dia tidak pernah
berkelakuan seperti itu, malah sejak seminggu lepas dia menjadi pendiam, namun
kuat makan,” katanya.
Menurut
Som, anak kelima daripada enam beradik itu juga memintanya memasak ulam pucuk
ubi kayu sedangkan sebelum ini dia tidak pernah memakan ulam seperti
itu.
“Walaupun
reda dengan kehilangannya, saya terkilan kerana permintaan terakhirnya untuk
makan ulam pucuk ubi kayu tidak kesampaian,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat
Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang, semalam.
Suami
mangsa, Sarjan Md Rawzar Yunus, 35, anggota Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera
Darat (PUTD) Kem Mahkota Kluang berkata, isterinya tidak pernah menunjukkan
sebarang kelainan sejak akhir-akhir ini kecuali gemar makan makanan yang tidak
disukainya sebelum ini.
“Pagi
tadi (semalam), dia bangun awal dan menyiapkan Maggi goreng untuk dibawa kepada
murid di bawah jagaannya.
“Perkara
ini tidak pelik, dia selalu berbuat demikian kerana baginya semua murid bagaikan
anaknya sendiri,” katanya.
Suziyani
adalah Pembantu Pengurusan Murid PraSekolah Pendidikan Khas di Sekolah
Kebangsaan Datuk Onn Jaafar, Simpang Renggam dan berkahwin dengan Md Rawzar
tujuh tahun lalu, namun belum dikurniakan cahaya mata.
Dalam
pada itu, Asrawani Ibrahim, 33, guru PraPendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan
Datuk Onn Jaafar berkata, kebiasaannya Suziyani bertanggungjawab membuka kelas
setiap pagi.
“Pagi
tadi (semalam), apabila datang ke sekolah saya melihat kelas PraPendidikan Khas
belum dibuka menyebabkan timbul tanda tanya kerana sebelum ini dia tidak pernah
lewat.
“Saya
terkejut selepas dimaklumkan dia terbabit kemalangan dan menangis kerana semalam
dia meminta saya memasak pucuk ubi untuk dimakan ketika waktu rehat,” katanya.
-HM
0 Response to "Mangsa kemalangan Suziyani kempunan ulam pucuk ubi - Ibu"
Post a Comment