Hot !

Tujuh Jurutera Ditemui Selamat Di Gunung Datuk





Keadaan tujuh jurutera setelah berjaya di bawa turun dengan selamat oleh pasukan penyelamat. - Foto Sinar Harian oleh NOR AINNA HAMZAH


REMBAU - Tujuh jurutera berusia 25 hingga 29 tahun berjaya ditemui pasukan penyelamat setelah tersasar laluan kira-kira 350 meter dari Tapak Kaki Gunung Datuk, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.08 petang itu, salah seorang mangsa, Bily Tan, 29, menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bagi meminta bantuan setelah menyedari mereka tidak menemui jalan keluar dari gunung.

Menurut salah seorang mangsa, Ray Phon, 26, mereka yang merupakan kenalan berasal dari Seremban memulakan pendakian seawal jam 6.30 pagi dan berjaya sampai ke puncak Gunung Datuk.

Semasa mahu turun puncak kami bertemu kumpulan pendaki lain dan menyatakan terdapat air terjun di lokasi berdekatan. Jadi kami pergi ke lokasi yang dinyatakan bagi melihat air terjun.

Namun salah seorang daripada kami tergelincir di kawasan air terjun dan cedera.

Kami cuba mencari jalan keluar, namun sistem pengesan koordinat (GPS) memberikan pelbagai arah selain talian telefon bimbit kurang memuaskan, katanya kepada Sinar Harian.

Ray berkata, rakannya terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bagi meminta bantuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa menghubungi sendiri balai bomba pada jam 3.08 petang.

Menurutnya, pasukan penyelamat segera ke lokasi kejadian diketuai PBK2, Mohd Kasim Hasan.

Operasi mencari mangsa disertai tiga pegawai bomba dibantu seorang jurupandu pada jam 4.38 petang. Selain itu, 5 anggota storm dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat.

Mangsa dijumpai pasukan penyelamat kira-kira jam 5.10 petang di check point ke-2 iaitu kira-kira 350 meter dari Tapak Kaki Gunung Datuk. Pasukan penyelamat bergilir-gilir memikul mangsa yang cedera di bahagian kaki serta sakit di pinggul selama sejam.


Mangsa di hantar ke HT bagi rawatan lanjut.

Untuk rekod, sehari sebelum kejadian, 12 individu sesat di Gunung Datuk membabitkan dua kumpulan pendaki salah satunya terdiri daripada empat pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi.




- sinarharian.com.my

0 Response to "Tujuh Jurutera Ditemui Selamat Di Gunung Datuk"

Post a Comment