
Putrajaya:
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menerima laporan
interim mengenai kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 dan khuatir
terdapat ‘permainan teknologi’ berhubung kehilangan pesawat itu.
Beliau
berpendapat adalah sesuatu yang amat pelik pada zaman ini apabila sebuah pesawat
yang beratnya 230 tan boleh hilang sehingga tidak boleh dijumpai.
“Saya
masih tidak boleh terima segala laporan ini. Dalam zaman komunikasi yang begitu
baik, kita tidak tahu apa jadi. Sedangkan kita boleh tengok rupa bentuk kawan
kita yang duduk 12,000 batu dari sini.
“Tapi
pesawat ini misteri, hilang semua. Tidak pernah jadi dalam sejarah dunia. Saya
khuatir ada permainan teknologi,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan interim Pasukan
Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai pesawat MH370 yang
dikeluarkan, semalam.
Dr
Mahathir ditemui selepas berakhir ‘International Conference On The New World
Order: A Recipe For War or Peace’ (Persidangan Antarabangsa Mengenai Orde Baharu
Dunia: Resipi untuk Peperangan atau Keamanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya, di sini, hari ini.
Beliau
turut menganggap dakwaan bahawa juruterbang menenggelamkan pesawat berkenaan di
Lautan Hindi sebagai tidak logik.
“Saya
ingat ini agak pelik. Kalau dia nak bunuh diri, dia bunuh diri tempat dia
mulalah (terbang). Apa hendak bawa kapal terbang empat lima jam cari tempat
paling dalam (di Lautan Hindi),” jelas Dr Mahathir.
Semalam,
laporan interim yang disediakan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO
Malaysia mengenai MH370, diumumkan.
Laporan
itu, antara lain menyatakan pasukan berkenaan telah menemubual lebih 120 orang
dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan.
Antara
yang ditemubual ialah petugas DCA, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak
pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan
operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain.
Penerbangan
MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada imbasan
radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam
setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8
Mac tahun lalu. - Bernama
0 Response to "Saya Masih Tak Boleh Terima - Tun M"
Post a Comment