Hot !

Terkejut Kena Bayar RM18,000



IPOH - Seorang pesara kerajaan terkejut apabila diminta membayar tunggakan pinjaman perumahan sebanyak kira-kira RM18,000 sedangkan pembayaran balik pinjaman tersebut didakwa sudah selesai pada 2009.

Difahamkan, M Ratannavelu, 81, yang berkhidmat selama 18 tahun dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat pinjaman perumahan berjumlah RM36,000 pada 1984.

 


Thanalaxshimi (kiri) dan bapanya, Ratannavelu (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media semalam.




Anaknya, R Thanalaxshimi, 52, berkata, berdasarkan surat diterima dari bahagian pinjaman perumahan pada Jun 2011, terdapat tunggakan bayaran antara Januari 1985 hingga April 1988 dan April 1991 hingga Julai 1992 yang perlu dijelaskan oleh ayahnya.

Dakwanya, bagaimanapun pembayaran balik yang dibuat menerusi pemotongan pencen bapanya itu selesai pada 2009.

Semakan yang kami buat di bahagian pencen mendapati potongan bagi tujuan bayaran balik pinjaman perumahan ada dibuat bagi tempoh Mac 1991 dan Disember 1991, bagaimanapun maklumat pembayaran tidak dapat dikemukakan kerana dilupuskan.

Potongan bulanan sebanyak RM185.12 bagi tempoh Ogos 1993 hingga Julai 1994 juga ada dibuat, pemotongan pencen ini berakhir pada Oktober 2009. Ia terbukti kerana pada November 2009, bapa saya sudah menerima bayaran pencen penuh sebanyak RM366.23.

Tetapi apabila dapat surat kata ada tunggakan, kami jadi keliru, tak sangka hal begini akan berlaku, katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, semalam.

Thanalaxshimi berkata, sekiranya dihitung dari pemotongan pencen bermula Mac 1991 hingga Jun 2009, bapanya melunaskan bayaran pinjaman lebih RM40,000.

Katanya, mereka sekeluarga mahu pengesahan yang jelas sama ada terdapat tunggakan seperti dinyatakan atau sebaliknya.

Saya mahukan pengesahan sama ada bapa yang berhutang atau membayar lebih kepada bahagian pinjaman perumahan memandangkan jawapan diterima dari bahagian pencen bercanggah dengan apa diminta oleh bahagian pinjaman perumahan, katanya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung masalah tersebut supaya ia dapat diselesaikan segera.



sumber: sinarharian.com.my

0 Response to "Terkejut Kena Bayar RM18,000"

Post a Comment