KEMAMAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan polisi insurans banjir buat rakyat negara ini bagi membela kebajikan mereka seandainya ditimpa bencana alam itu.
Beliau berkata, kerajaan boleh mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans agar dapat mewujudkan polisi insurans terbabit yang boleh memanfaatkan semua pihak terutamanya mangsa bencana.
Katanya langkah itu dilihat wajar ke arah memastikan keberkesanan kesiapsiagaan nasional dalam menghadapi banjir terutama musim tengkujuh yang melanda negara ini.
Kita mengalu-alukan syarikat insurans yang boleh tampil menawarkan polisi perlindungan kepada mangsa banjir.
Malah kita boleh mencadangkan suatu pindaan undang-undang yang berkaitan kepada mana-mana syarikat insurans yang tidak mahu bekerjasama, bagi membolehkan mangsa banjir mendapat manfaatnya," katanya ketika ditemui pada majlis gotong-royong perdana banjir Felda Seberang Tayor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dalam rangka kerjanya melawat tanah rancangan Felda yang banjir di Terengganu.
Ahmad Shabery berkata, bagi mencapai matlamat itu, skim insurans itu dicadangkan dicarum melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan sebagaimana, manfaat Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) yang dilaksanakan mulai tahun lepas.
"Potongan itu tak kiralah sama ada RM50 hingga RM100 dicarum untuk insurans dan pandangan saya jumlah itu tidak membebankan semua.
Sekarang orang boleh terima, bahawa pengambilan insurans itu penting seperti juga kita mengambil insurans motosikal dan kereta dan sekiranya berlaku kemalangan kita tidak menanggung kerugian yang besar," katanya.
Katanya beliau akan mencari jalan bagaimana cara untuk rakyat, kerajaan dan syarikat insurans agar dapat memainkan peranan dalam mencari kaedah terbaik agar sekiranya berlaku sesuatu bencana alam dan banjir pihak insurans memberi ganti rugi agar bebanan itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan rakyat.
"Saya percaya dengan adanya caruman itu ia mampu memberi keuntungan kepada mangsa banjir mendapat ganti rugi dan pembelaan yang sewajarnya," katanya.
Kerajaan pada pembentangan Bajet 2014, memperkenal i-BR1M dengan tuntutan boleh dibuat sehingga RM30,000 bagi kematian disebabkan kemalangan dan kemalangan mengakibatkan hilang upaya kekal serta menyeluruh, dan RM1,000 untuk kematian biasa.
i-BR1M adalah pelan insurans takaful yang memberi manfaat perlindungan kepada penerima BR1M kategori isi rumah. - Bernama
0 Response to "Menteri Saran Polisi Insurans Banjir Buat Rakyat"
Post a Comment