
Jika
anda mengunjungi restoran atau kafe, perkara pertama yang dilakukan sebelum
memesan makanan pastinya bertanyakan kata laluan sambungan WiFi untuk melayari
Internet.
Namun,
tahukah anda WiFi percuma ini mempunyai risiko keselamatan yang tinggi? Ia
memberi ruang kepada penjenayah siber untuk mencuri maklumat peribadi anda
melalui sambungan WiFi percuma ini.
Penasihat
Keselamatan F-Secure Corporation Sdn Bhd (F-Secure), Goh Su Gim berkata,
disebabkan kebergantungan tinggi terhadap teknologi, pengguna sebenarnya tidak
sedar kemudahan WiFi percuma ini berupaya mendedahkan maklumat peribadi
seseorang.
"Di
Malaysia kemudahan WiFi percuma sudah menjadi satu keperluan.
"Pengguna
telefon pintar, tablet dan laptop yang berhubung melalui pelbagai aplikasi
sosial sudah pasti mencari WiFi percuma ini ke mana saja mereka pergi tidak kira
di HOTEL, lapangan terbang, kedai kopi malah di hospital," katanya.
Namun
Gim berkata, WiFi secara asas tidak dibangunkan bersama ciri keselamatan awam
dan pemasangannya tidak memerlukan sebarang peraturan khas.
"Sesiapa
sahaja boleh memasang titik akses WiFi di mana saja kerana ia tidak sukar untuk
dilakukan.
"Selain
itu, pengguna juga terlalu percaya kepada teknologi sehingga tidak menyedari
bahaya sebenar," katanya.
Menurut
Gim, kelemahan ini dieksploitasi sepenuhnya penjenayah dengan menawarkan hotspot
WiFi untuk memperdaya dan mencuri data peribadi.
"WiFi
palsu ini boleh digunakan untuk merancang serangan dipanggil 'orang tengah' yang
mana gambar, teks dan video yang dihantar menerusi rangkaian ini boleh dipintas
dan dicuri selagi ia tidak dienkripsi," katanya.
Katanya
lagi, malah WiFi sebenar seperti di HOTEL boleh 'ditendang' keluar dengan
menggunakan WiFi yang mempunyai isyarat lebih kuat serta tidak menggunakan kata
laluan yang memperdaya sesiapa saja untuk masuk semula ke WiFi tanpa menyedari
ia sebenarnya perangkap.
Baru-baru
ini, F-Secure menjalankan kajian di bandar besar London bagi menunjukkan
pengguna yang leka menggunakan WiFi awam tanpa menghiraukan keselamatan
peribadi.
Dalam
eksperimen ini, mereka menyediakan hotspot WiFi palsu yang mendedahkan trafik
Internet, maklumat peribadi, kandungan e-mel malah bersetuju kepada klausa
mengarut seperti melepaskan 'hak penjagaan anak sulung' pengguna untuk
menggunakan WiFi percuma ini.
Dalam
masa 30 minit, sebanyak 250 peranti disambungkan ke WiFi ini kebanyakannya
secara automatik tanpa disedari pengguna dengan 33 individu secara aktif
melayari Internet dan menghantar e-mel.
Pengkaji
senario terbabit menemui teks e-mel yang dihantar menerusi format 'POP3' boleh
dibaca dengan jelas seperti alamat penerima dan penghantar serta kata laluan
penghantar bagi menekankan kepentingan penggunaan enkripsi.
Apa
yang menakutkan, pengguna tidak membaca langsung terma dan syarat sebelum
bersetuju menggunakan perkhidmatan WiFi percuma ini.
"Dalam
eksperimen ini, F Secure meletakkan syarat seperti melepaskan hak penjagaan anak
sulung mereka serta binatang peliharaan kesayangan untuk mendapat kebenaran
menggunakan WiFi percuma," ulas Gim.
Kajian
bebas ini disokong pihak berkuasa Europol serta Institut Penyelidikan Siber UK
dan SySS, syarikat ujian penembusan dari Jerman.
Dalam
kajian ini, SySS membina hotspot WiFi mudah alih daripada komponen yang berkos
sekitar RM800 saja dan sedikit pengetahuan teknikal.
Sementara
itu, Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Serantau F-Secure, Lydia Chic pula
menjelaskan, pengguna boleh menjauhi penggunaan WiFi percuma atau melaksanakan
langkah keselamatan ketika menggunakannya.
"Anda
boleh menjadikan sambungan tidak kelihatan kepada individu lain dan data tidak
boleh dibaca kerana ia dienkripsi.
"Jika
ada yang cuba menceroboh, mereka tidak akan berjaya," katanya.
F-Secure
sendiri mempunyai teknologi F-Secure Freedome yang berasaskan rangkaian peribadi
maya (VPN) dan penyelesaian privasi 'online'.
Freedome
mengenkripsi data yang mengelakkannya daripada dibaca meskipun anda bersambung
ke WiFi awam yang tidak selamat.
Ia
menghalang laman web dan aplikasi berbahaya serta mempertahankan privasi anda
dan menjadikannya seakan 'tanpa nama'.
Cybersecurity
Malaysia (CSM) yang bernaung di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
(MOSTI) pula menggariskan langkah penggunaan sambungan WiFi sama ada di rumah
atau kawasan awam.
Penggunaan
WiFi dirumah perlu langkah lebih berhati-hati apabila kebanyakan individu
memilih untuk membiarkan sambungan rangkaian WiFi mereka terbuka, sekali gus
mencipta hotspot yang membolehkan sesiapa saja berdekatan kawasan itu untuk
membuat sambungan ke Internet.
Antara
tip perlu difikirkan:
>
Adakah hotspot anda menyalahi peraturan pembekal perkhidmatan Internet?
Sesetengah pembekal Internet jalur lebar melarang pengguna berkongsi sambungan
WiFi dengan orang yang tidak dikenali. Larangan ini biasanya terkandung dalam
syarat perkhidmatan oleh pembekal Internet ketika anda mendaftar untuk
menggunakan Internet.
>
Adakah komputer dan rangkaian anda selamat? Pastikan kata laluan komputer anda
sukar diteka dan dihafal. Ia penting terutama jika anda mempunyai rangkaian
komputer di rumah.
Semestinya
anda tidak mahu orang yang tidak dikenali menggunakan sambungan WiFi anda untuk
mengakses komputer anda.
Adakah
anda sudah menukar kata laluan stesen utama (base station)? Kebanyakan stesen
utama WiFi menggunakan kata laluan yang mudah diteka seperti 'admin' atau
'default' membolehkan penggodam untuk mengambil alih aturan stesen utama anda.
Pastikan anda menukar kata laluan stesen utama WiFi kepada yang sukar diteka,
tetapi mudah diingati.
Tip
menutup rangkaian WiFi awam
Jika
anda mahu melindungi rangkaian WiFi daripada orang yang tidak dikenali, terdapat
beberapa langkah yang boleh diambil:
>
Jangan siarkan Service Set Identifier (SSID) anda. Ia langkah yang paling mudah
untuk mencegah seseorang daripada memasuki rangkaian WiFi anda. Bagaimanapun ia
masih lagi belum selamat. Secara automatik, semua stesen utama WiFi menghebahkan
kehadiran mereka menggunakan pengenalan yang dipanggil SSID kepada sesiapa yang
berdekatan.
>
Enkripsi kata laluan rangkaian tanpa wayar.
>
Pastikan stesen utama hanya menerima alamat 'MAC' anda.
Tip
menghantar maklumat sensitif melalui rangkaian WiFi
>
Jangan hantar fail yang sensitif jika anda tahu rangkaian WiFi tidak
selamat.
>
Gunakan 'Virtual Private Network' (VPN) untuk memastikan keselamatan maklumat
yang dihantar melalui WiFi.
>
Gunakan rangkaian yang selamat.
0 Response to "Bahaya Guna Wifi Risiko Maklumat Peribadi Terdedah"
Post a Comment