
HONG KONG: Saham Asia jatuh
hari ini berikutan penurunan semalaman di Wall Street yang menyaksikan saham
Apple dan pembekal komponennya turun apabila pelabur tidak teruja dengan peranti
terbaharu iPhone 6 dan Apple Watch.
Menjelang penutupan tengah
hari, bursa Tokyo turun 0.35 peratus, Sydney susut 0.88 peratus, Shanghai turun
0.64 peratus manakala Hong Kong susut 1.44 peratus. Bursa Seoul ditutup kerana
cuti umum.
Pada penutupan malam tadi,
Indeks Dow Jones jatuh 0.57 peratus dan S&P500 jatuh 0.65 peratus manakala
Nasdaq jatuh 0.87 peratus.
Saham firma yang
membekalkan komponen kepada Apple jatuh selepas pelancaran iPhone 6 dan iPhone
6+ dengan skrin lebih besar, jam pintar serta sistem pembayaran
baharu.
Walaupun Ketua Pegawai
Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata telefon pintar itu adalah 'kemajuan terbesar
dalam sejarah iPhone', pelabur bagaimanapun tidak begitu tertarik. Saham Apple
ditutup turun 0.4 peratus.
Harga saham Japan Display
jatuh 1.8 peratus, Foster Electric susut 0.6 peratus manakala di Taipei, Taiwan
Semiconductor Manufacturing Corp jatuh 1.6 peratus manakala pengeluar skrin,
Largan Precision jatuh 1.2 peratus.
Ketua Pegawai Pelaburan BMO
Private Bank Amerika Syarikat (AS), Jack Ablin, berkata pelabur nampaknya agak
kecewa.
"Pelabur mengharapkan
produk 'game changer' daripada syarikat ini (Apple), justeru mereka agak kecewa
bila keadaan itu tidak dicapai," katanya. - AFP
0 Response to "Saham Apple Dan Pembekal Komponennya Jatuh Kerana iPhone 6"
Post a Comment