Hot !

Lemas termakan pujuk


Muar: Gara-gara termakan pujukan rakan yang mengajaknya mandi, seorang remaja menemui ajal akibat lemas selepas beberapa minit terjun ke dalam Sungai Muar di jeti nelayan Kampung Parit Tiram, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.02 malam itu, Muhammad Afiq Izauddin Mohd Hafizan (gambar kecil), 13, dalam perjalanan ke Surau Kampung Parit Tiram untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum terserempak dengan dua rakannya mandi di sungai berkenaan.

Dia pada mulanya dikatakan enggan mandi kerana ingin menunggu masuk waktu Maghrib, namun mengubah fikiran selepas dipujuk rakannya.

Ibunya, Siti Maslina Talib, 37, berkata, ketika kejadian dia bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini sebelum menerima panggilan telefon dari suaminya memberitahunya insiden terbabit.







ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung menolong mengangkat mayat mangsa.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, jiran memaklumkan anak saya terjun ke dalam sungai untuk mandi bersama dua rakannya.


“Dia dikatakan terkapai-kapai meminta tolong apabila berenang di kawasan yang dalam sebelum dilihat tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Menurutnya, tiga hari sebelum kejadian, dia menyedari perangai anaknya berubah kerana asyik bertanya soalan sama berulang kali.

“Kebelakangan ini dia juga agak pendiam dan kurang makan. Tetapi, dia tetap ke surau seperti biasa untuk berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak.

“Dia seorang anak yang baik dan akan bersalam dan mencium saya ketika keluar bekerja seterusnya melambai saya dari atas rumah. Namun, saya sungguh tidak menyangka, malam Nisfu Sya’aban adalah malam terakhir baginya.

“Saya tidak dapat mengawal perasaan sebaik tiba di lokasi kejadian. Mujur ada jiran dan ahli keluarga menenangkan saya kerana tidak berdaya untuk menerima hakikat, tetapi akhirnya saya reda dengan pemergian anak kesayangan,” katanya.









0 Response to "Lemas termakan pujuk"

Post a Comment