Hot !

Lelaki kecoh awek ditahan


KUANTAN: Seorang lelaki menimbulkan kekecohan selepas tidak berpuas hati dengan pasukan anggota polis menahan teman wanitanya kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah ketika Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Ubi, di sini, semalam.








Lelaki kecoh awek ditahan, info, terkini, berita,
Anggota JAIP memeriksa pengunjung beragama Islam yang disyaki mabuk dalam Ops Noda di Jalan Bukit Ubi, Kuantan awal pagi semalam



Dalam operasi dijalankan di pusat hiburan pada jam 3 pagi itu, lelaki tempatan berusia 50 tahun terbabit memarahi anggota polis sebelum memberikan alasan dokumen perjalanan teman wanitanya yang berusia 20-an, berasal dari Thailand tertinggal di Kuala Lumpur.

 



Namun, alasan itu tidak diterima anggota yang menjalankan tugas dan teman wanitanya dibawa menaiki kenderaan polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Operasi Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) IPK Pahang itu mendapat kerjasama Pasukan Ops Cantas Wanita (Black Rose) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pegawai Turus D7 Asisten Superintendan Azlihan Ishak berkata, lelaki terbabit dapat ditenangkan dan akur dengan tindakan polis sebelum dia dibawa rakannya meninggalkan premis berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi itu, 80 pengunjung premis itu termasuk wanita diperiksa serta menjalani ujian alkohol bagi mengesan sama ada mereka mabuk atau sebaliknya.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati, polis menahan lima pegawai perhubungan pelanggan (GRO) wanita dan seorang pondan warga Thailand berusia 20 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tiada permit kerja.






“Pada masa sama, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 16 dan 20 tahun kerana masing-masing tiada kad pengenalan serta masih di bawah umur.

“Selain itu, anggota JAIP menahan 20 lelaki termasuk wanita kerana didapati mabuk serta berpakaian tidak sopan selain merampas beberapa botol minuman keras untuk dijadikan bahan bukti kes,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika operasi dijalankan kerana premis itu dikawal anggota Black Rose kecuali lelaki terbabit yang tiba-tiba naik minyak kerana tidak berpuas hati teman wanitanya ditahan.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/63 dan Kaedah 32 Enakmen Hiburan 1993.-HM

sumber

0 Response to "Lelaki kecoh awek ditahan"

Post a Comment