Hot !

HAJAT IBU DERMA BUAH PINGGANG UNTUK ANAK TIDAK KESAMPAIAN



KUANTAN – Hajat seorang ibu untuk mendermakan buah pinggang kepada anak lelakinya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Berserah berhampiran simpang Jalan Haji Ahmad, 3 Mei lalu.

Tragedi menimpa wanita berusia 52 tahun itu sekali gus memusnahkan harapan anaknya, Chew Yong Shin, 26, untuk sembuh daripada penyakit dihidapi apabila satu-satunya peluang yang ada tidak kesampaian.

Yong Shin berkata, sebelum kemalangan menimpa ibunya berlaku, harapannya untuk pulih amat cerah.

“Ibu berhajat untuk mendermakan buah pinggangnya kepada saya dan dia sendiri telah mendaftar sebagai penderma organ.

“Doktor juga mengesahkan buah pinggangnya berada dalam keadaan baik ketika membuat pemeriksaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Geha Bodhi, Lam Kai Cheong, kelmarin.

Yong Shin berkata, dia sangat sedih malah menjadi lebih tertekan selepas dimaklumkan buah pinggang wanita itu tidak dapat digunakan atau dipindahkan kepadanya sebagai bakal penerima.

“Satu-satunya peluang yang ada di depan mata sudah musnah malah harapan untuk mendapatkan penderma baru juga belum pasti,” katanya.

Mendiang ibunya maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang, 3 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, ibunya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Sementara itu, Lam Kai Cheong berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa Yong Shin yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

Menurutnya pemuda itu bukan sahaja kehilangan itu tersayang malah kehidupannya juga semakin tidak menentu ekoran penyakit yang dihidapi.

“Sebelum ini dia mungkin boleh tersenyum ceria selepas peluang untuk sembuh cerah ekoran kesediaan ibunya untuk mendermakan organ yang ditunggu sejak sekian lama.

“Namun selepas peristiwa itu, harapannya musnah dan dia terpaksa menunggu dan berdoa agar ada penderma lain yang sudi berbuat demikian,” katanya.

Kai Cheong berkata, simpati dengan nasibnya, Persatuan Geha Bodhi tampil menghulurkan sedikit sumbangan untuk meringankan beban keluarga itu.

“Kami juga akan cuba mendapatkan penjelasan dari pihak Kementerian Kesihatan berkenaan masalah yang mungkin timbul sehingga pemindahan buah pinggang wanita itu gagal dilakukan.

“Kita harap pihak hospital juga dapat memberi penerangan yang jelas mengenai prosedur menderma organ kepada orang ramai supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya, lapor Sinar Harian.

sumber

0 Response to "HAJAT IBU DERMA BUAH PINGGANG UNTUK ANAK TIDAK KESAMPAIAN"

Post a Comment