PUTRAJAYA – Seorang suri rumah yang hamil diarah turun dari sebuah pesawat Airasia di Denpasar, Bali, Indonesia tiga tahun lalu kerana tidak mempunyai sijil perubatan menyatakan beliau layak dari segi kesihatan untuk melakukan perjalanan, mendapat award RM43,999 sebagai ganti rugi oleh Mahkamah Rayuan di sini Rabu.
Patricia Karen Chew Mei Yik, 44, dan suaminya Michael Januarius, 57, memenangi saman ke atas Airasia Berhad selepas tiga panel hakim membenarkan rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai saman itu.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail memberikan award ganti rugi khas kepada pasangan itu sebanyak RM18,999 dan juga ganti rugi am berjumlah RM25,000.
Beliau juga memerintahkan AirAsia membayar faedah lima peratus setahun mulai 27 Dis, 2011, tarikh writ difailkan untuk penyelesaian penuh saman itu.
Hakim Abdul Wahab yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga memerintahkan AirAsia membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada pasangan itu.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, Chew dan Januarius, seorang ahli perniagaan, berkata mereka membeli tiket penerbangan pergi balik ke Bali pada 2 Feb, 2011.
Mereka berkata selepas menghabiskan percutian mereka di Bali bersama-sama dengan anak perempuan mereka ketika berumur empat tahun (kini 7 tahun), mereka menaiki pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pada 26 Feb, 2011.
Pasangan itu mendakwa sebelum pesawat itu berlepas, seorang pramugari bertanyakan sama ada Chew, yang ketika itu hamil 28 minggu, sama ada beliau mempunyai surat daripada doktor yang mengesahkan beliau layak dari segi kesihatan untuk melakukan perjalanan menggunakan pesawat.
Chew berkata beliau mendapat sijil daripada pakar sakit puan Datuk Dr Ang Chin Guan dari Sime Darby Specialist Centre Megah Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 11 Feb, 2011.
Bagaimanapun, beliau memberitahu pramugari terbabit sijil itu diserahkan kepada seorang pramugari yang namanya beliau tidak dapat diingat dalam pesawat pada 20 Feb, 2011 semasa bertolak dari Kuala Lumpur ke Denpasar.
Chew mendakwa pramugari terbabit memberitahu beliau dalam nada suara marah bahawa semakan dalam sistem online tidak dapat mengesan sijil itu dan Chew dimaklumkan supaya mendapatkan sijil baharu daripada doktor.
Pada ketika itu, suami Chew memutuskan bahawa beliau kekal di dalam pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur tanpa isteri dan anaknya kerana beliau perlu menghadiri satu majlis resepsi korporat di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pasangan itu mendakwa pramugari terbabit memberitahu mereka supaya pergi ke pintu depan untuk berbincang tetapi sebaik mereka berada di situ, seorang pengawal keselamatan mengarahkan mereka untuk turun dari pesawat dan kemudiannya menutup pintu pesawat.
Pasangan itu berkata mereka kehilangan bagasi tangan mengandungi sebuah kamera dan sebuah komputer riba yang ditinggalkan di dalam pesawat.
Pasangan itu berkata mereka kecewa dan diaibkan dengan cara keadaan itu dikendalikan.
Chew kemudiannya memperoleh sijil layak dari segi perubatan di lapangan terbang Denpasar yang membenarkan keseluruhan keluarga itu untuk menaiki pesawat lain ke Kuala Lumpur.
Dalam pembelaan mereka, AirAsia menafikan Chew dan keluarganya menerima layanan kasar sambil menambah petugasnya dilatih berdepan sebarang keadaan membabitkan penumpang dengan sabar, tenang, sopan dan secara profesional.
Syarikat itu mendakwa petugas mereka dalam insiden itu hanya menjalankan tugas mereka mengikut prosedur operasi standard dan peraturan yang dikuat kuasakan.
Pada 29 Ogos, 2012, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak saman mereka.
Chew dan Januarius diwakili peguam M Manoharan manakala AirAsia diwakili Zaini Mazlan dan Raja Nurul Iylia Raja Mohd Tajuddin. – BERNAMA
0 Response to "GARA-GARA ANIAYA WANITA HAMIL, AIRASIA DIARAH BAYAR RM43,999!"
Post a Comment