Hot !

Bazar Bundle Kebanyakan Oleh Warga Asing Di Lorong Haji Taib Digempur

Penuh sepuluh lori! Itu hasil tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti perniagaan Bazar Bundle di Lorong Haji Taib, Chow Kit kelmarin apabila semua barangan disita setelah mendapati rata-rata operasi jualan dilakukan oleh warga asing.


Operasi perniagaan yang bermula pada waktu petang itu mulanya tenang seperti biasa, namun bertukar kecoh apabila terdapat peniaga warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak penguatkuasa.


Bazar Bundle Kebanyakan Oleh Warga Asing Di Lorong Haji Taib Digempur


Bazar Bundle Kebanyakan Oleh Warga Asing Di Lorong Haji Taib Digempur



Namun, tindakan penguatkuasa mengepung kawasan laluan antara Lorong Haji Taib di persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut berjaya menahan lima warga asing dan menyita 20 gerai.


Ketua Operasi, Tanda Usoh berkata, operasi bermula jam 4 petang dan berakhir jam 9 malam itu merupakan siri keenam Ops Tegas bagi membanteras aktiviti perniagaan warga asing di ibu kota.


Menurutnya, ia hasil risikan selama dua minggu yang dilakukan pihaknya atas aduan yang disalurkan orang awam.


“Daripada maklumat diterima, hampir 80 peratus peniaga di sini adalah warga asing terutamanya warga Bangladesh.


“Jadi hasil tindakan ini, kita telah sita barangan peniagaan mereka dan ia tidak boleh dituntut walaupun oleh pemilik sebenar kerana membabitkan warga asing,” katanya kepada Sinar Harian.


Tindakan diambil di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai 1989.


Tanda berkata, kesemua warga asing termasuk tiga warga Bangladesh diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.


“Mana-mana penjaja yang didapati menyewakan gerai atau membiarkan perniagaan diuruskan warga asing, akan ditamatkan lesen,” katanya.


Operasi dijalankan secara bersepadu itu disertai kira-kira 100 orang termasuk anggota penguatkuasa, anggota polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.


Tindakan akan dilaksanakan secara berterusan memastikan ibu kota bersih daripada penjaja warga asing.


Sumber : Sinar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

0 Response to "Bazar Bundle Kebanyakan Oleh Warga Asing Di Lorong Haji Taib Digempur"

Post a Comment