%hndarilah perkara yang mampu membuat pasanganmu
kecewa dan kamu bakal kehilangannya . Mungkin ada hikmahnya kenapa tak ikut
serta setiap kali rakan-rakan adakan reunion ? kan . Melainkan ketika reunion tu
ada niat disebaliknya . hahaha . ikuti cerita sebenar kenapa reunion menjadi
punca retak rumahtangga kami :
Tidak
semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga yang membawa derita
dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang
mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup
lebih bermakna.
Tidak
dinafikan reunion menjadi fenomena pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang
bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran,
universiti atau pejabat.
Memang ada
baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah
berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim. Tetapi reunion
juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan.
Inilah
kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam
dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama
sebenar).
Mahu tidak
mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada
bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti
tempat mereka belajar.
Ingin tahu
lebih lanjut, ikuti kisah Nora.
"Saya
telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta.
Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan
dia. Kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
"Saya
bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan
tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami
yang baik dan penyayang.
"Setiap
tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti
dalam negara bila ada kelapangan. Pendek kata keharmonian rumah tangga kami
sangat menyerlah.
"Sehinggalah
hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan
bekas kekasihnya pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan
universiti yang dihadirinya.
"Saya tak
kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya. Sebelum
ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia
ikhlas dalam perhubungan kami.
"Selesai
majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan
sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia tidak berenggang dengan
telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama
pada waktu malam.
"Di rumah
pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya
telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum
ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan anak.
"Pada
hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar. Tidak seperti biasa membawa
saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya
dan anak di rumah.
"Tidak
cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out station, kononnya untuk
berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak
syak apa-apa sebab masih percayakan dia.
"Satu
hari, dia memberitahu saya untuk out station selama tiga hari. Alasannya untuk
menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak
kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia
berbohong dengan saya.
"Sehinggalah
semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa
hotel di dalam beg pakaiannya. Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan
minum untuk dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di
luar negara.
"Sehari
suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang.
Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan
menjadi kenyataan.
"Tapi
Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat,
saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di
seberang.
"Lalu saya
teringat permintaan dia untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah
masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu. Saya tidak menangis. Saya tidak
mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami.
"Saya mahu
buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih
kasih.
"Mencari
masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel
dan pembelian yang saya jumpa. Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah
terbongkar.
"Tanpa
rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia
peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata saya dengan, "saya nak abang
bebaskan saya!"
Berulang
kali saya sebut perkara itu.
"Saya
tidak mahu lagi memberi dia peluang. Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak
akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan
perbuatannya.
"Melihat
saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang
dengan saya, menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah
menikahi perempuan itu secara rahsia di negara jiran.
"Kononnya,
dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum
berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu.
Mudahnya
lelaki menyusun kata.
"Dalam
sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya.
Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih,
sanggup dia bernikah lagi.
" Saya
ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang
sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut
dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi
lelaki.
"Apa pun
semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan
terubat lagi. Saya kecewa yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup
bersamanya kerana kecurangannya itu.
"Saya
tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang
tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan saya sebagai
isteri.
"Sanggup
pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri
yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang
dia lakukan ini?
"Keluarga
menentang keras keputusan saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya
ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya
diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil
sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan
dirinya untuk berpoligami.
"Walaupun
saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung
tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin. Saya
tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak.
"Saya
harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup
bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap
bersama kepercayaan saya kepadanya.
"Saya
minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa
yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya
saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana
perasaan saya ini.
"Saya
nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri
majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi
seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila
bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika pernah singgah di hati
mereka.
"Semoga
Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan
nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin.?? Nora menamatkan ceritanya.
Saya turut
simpati dengan apa yang Nora lalui. Memang betul apa yang Nora katakan, sekali
terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan
merasa peritnya apabila suami diambil orang.
Saya ucap
syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka dengan suaminya secara
berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara orang ketiga dalam
rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza setelah mendapatkan
bukti-bukti yang sah.
Saya
setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan cara betul akan
membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan
kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di kemudian
hari.
Apa pun
semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita
positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah
jadi penentu.
Semoga
Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah menghadapi
hidup.
Menamatkan
coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan
jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana
segala-galanya hanya sementara.
diambil dari :
utusan

0 Response to "Reunion Kawan Sekolah Zaman Cinta Monyet Punca Rumahtangga Kami RETAK"
Post a Comment