Dua rakyat Malaysia antara yang
terbunuh dalam letupan bom di bahagian tengah Bangkok, malam tadi, yang turut
menyebabkan berpuluh-puluh orang lagi cedera. Kematian dua rakyat Malaysia itu
disahkan oleh pegawai Kedutaan Malaysia di ibu negara
Thailand.
Letupan pada kira-kira 7 malam (8
malam waktu Malaysia) berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berdekatan dengan
Kuil Erawan dan pusat beli-belah Bangkok. Ia turut merosakkan beberapa kereta
dan motosikal.
Selain itu, laporan menyatakan
beberapa penjaja jalanan dipercayai antara mangsa letupan itu. Sehingga jam 9.30
malam waktu tempatan, Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan (EMS)
Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengesahkan seramai 82 orang
cedera.
Angka itu diperoleh dari 15 buah
hospital di sekitar Bangkok. Bagaimanapun, ia tidak dapat mengesahkan jumlah
mereka yang terbunuh.
Persimpangan Ratchaprasong di
bahagian tengah Bangkok menjadi lokasi protes jalanan oleh kumpulan Baju Merah
pada tahun 2010 dan PDRC (Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat) diketuai
Suthep Thuaksuban pada tahun 2014, yang akhirnya mencetuskan rampasan kuasa
tentera dan penggulingan bekas Perdana Menteri, Yingluck
Shinawatra.
Walaupun pengeboman berlaku tidak
jauh dari Stesen Chitlom yang menyediakan perkhidmatan kereta api Bangkok yang
dikenali sebagai 'skytrain', perkhidmatan itu masih
diteruskan.
Timbalan jurucakap kerajaan, Mejar
Jeneral Weerachon Sukhonthapatipak berkata, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth
Chan-ocha telah pun dimaklumkan mengenai letupan bom itu dan mengarahkan Pasukan
Pemusnah Bom dikerah ke kawasan berkenaan. Beliau berkata, setakat ini, tiada
rancangan untuk menutup sekolah dan bank yang terletak berhampiran kawasan itu.
- BERNAMA
0 Response to "Video : Saat Cemas & Foto Ngeri Mayat Letupan Bom Di Bangkok"
Post a Comment