Hot !

TIDAK SETIMPAL, NENEK DIBAYAR RM1 UNTUK SETIAP BUNGKUSAN BAWANG YANG DIKUPAS



ALOR SETAR - Seorang warga emas mengambil upah mengupas bawang sejak 17 tahun lepas demi menyara kehidupan dia anak beranak di Kampung Melayu, Jalan Teluk Wanjah, dekat sini.

Sofiah Dahalan, 65, berkata, dia menerima upah RM1 untuk setiap bungkusan bawang dikupas untuk perniagaan martabak.

“Kalau ada 10 bungkusan bawang, boleh kata banyaklah upahnya, iaitu RM10 sehari. Namun, kuantiti bawang diterima tidak menentu setiap hari.

“Kadang-kadang banyak, kadang-kadang tidak. Bagaimanapun, wang upah akan dibahagi tiga dengan dua jiran, yang turut sama membantu makcik hampir setiap hari,” katanya.

Sofiah berkata, dia yang menghidap kencing manis mempunyai lima anak, namun salah seorang daripadanya sudah meninggal dunia tiga bulan lepas akibat gout.

Kini, katanya, dia tinggal bersama dua anak lelakinya, Rosnizam Yusof, 42, dan Mohd Rozi, 32, dalam sebuah kediaman usang milik arwah suaminya itu.

Menurutnya, anaknya, Rosnizam yang merupakan duda anak lima mencari rezeki sebagai pengutip sampah, manakala adiknya pula sebagai kelindan lori sambilan.

“Melalui kutipan bahan buangan seperti besi buruk, kertas mahupun botol kaca dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari, dapatlah Rosnizam pendapatan sekitar RM20 sehari,” katanya.

Bagaimanapun, Rozi dikatakan tidak dapat bekerja apabila terpaksa merehatkan diri buat sementara waktu berikutan baru menjalani pembedahan apendiks.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, warga emas terbabit menerima bantuan am (BA) sebanyak RM150, manakala anaknya elaun pekerja cacat (EPC) RM300.

Justeru, mereka yang berhasrat meringankan beban keluarga Sofiah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik anaknya (02122-29-00009053-7). - SINAR HARIAN

sumber

0 Response to "TIDAK SETIMPAL, NENEK DIBAYAR RM1 UNTUK SETIAP BUNGKUSAN BAWANG YANG DIKUPAS"

Post a Comment