Hot !

Khairy Jamaluddin: Selangor Patut Disalahkan Atas Masalah Air

Hari itu saya sempat mendengar satu siaran ‘luahan pendapat’ dalam sebuah saluran radio perniagaan. 
Pemanggil yang meradang melampiaskan kemarahan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana krisis air yang berlanjutan. Mereka yang tidak tahu fakta sebenar pastinya menyalahkan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak merancang bekalan air dengan baik. 


 


Khairy Jamaluddin: Selangor Patut Disalahkan Atas Masalah Air



Namun, persoalan utama yang sepatutnya ditanya semua pihak ialah: Mengapa hanya Selangor dan Kuala Lumpur yang berdepan krisis air, sedangkan tiada satu pun negeri lain dihambat masalah yang sama? Adakah kerana kami langsung tidak menjangkakan kenaikan permintaan air di Selangor berbanding di negeri lain? Tidak. Setiap negeri mendaftarkan kenaikan permintaan air setiap tahun dan kami mempunyai sebuah daftar untuk meramalkan kenaikan keperluan air agar berupaya menyediakan maklumat yang tepat supaya perancangan boleh dilakukan. 


Adakah hanya kerana kemarau yang melanda Selangor? Tidak. Negeri lain pun dilanda kemarau juga pada musim yang berbeza sepanjang tahun, tetapi tidak pula negeri berkenaan kekeringan air. 


Adakah kerana kadar air tidak terhasil (NRW) di Selangor terlalu tinggi berbanding di negeri lain? Tidak juga. Peratusan NRW di Selangor/Kuala Lumpur adalah pada tahap 32 peratus. Jumlah ini lebih rendah berbanding dengan purata NRW di seluruh negara (36 peratus), malah lebih rendah daripada Pahang (56 peratus), Kelantan (55 peratus), Sabah (50 peratus) dan Kedah (47 peratus). Tidak pula bekalan air kering di negeri ini. 


Jadi, mengapa hanya Selangor berdepan masalah air dan silap siapa sebenarnya? 
Jika perancangan yang dilakukan adalah betul, sepatutnya bekalan air sudah cukup untuk menampung permintaan yang meningkat dan kemarau. Strategi sedia ada memastikan bahawa rizab bekalan air kekal pada tahap 70 peratus (iaitu bekalan air cukup selama 100 hari sebelum diisytiharkan mencecah tahap kritikal). Perancangan ini bererti bahawa bekalan air kita cukup untuk menampung 100 peratus keperluan semasa. 


Mengikut perjanjian konsesi air, Kerajaan PKR Selangor yang terdahulu sengaja menetapkan tarif air pada kadar yang amat rendah pada peringkat awalnya bagi membolehkan peningkatan tarif air dibuat secara berperingkat demi kepentingan orang awam. 


Peningkatan ini perlu dilaksanakan sebagai usaha menambah hasil syarikat air lalu mereka dapat menggunakan wang berkenaan bagi meningkatkan bekalan air dan mengurangkan ketirisan atau NRW. 


Bukan hanya di Selangor, semua negeri di Malaysia termasuk negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional dan pembangkang sudah melaksanakan peningkatan tarif air seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi atau pelan perniagaan itu. 


Amaran awal krisis air 


Sejak tahun 2010 lagi, Kerajaan Persekutuan sudah mengemukakan amaran kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa krisis air akan tercetus pada tahun 2014 jika sumber air di Selangor tidak diuruskan dengan betul. 


Khalid pintas membalas bahawa bekalan air di Selangor lebih daripada cukup untuk menampung keperluan Selangor dan Kuala Lumpur, malah cukup sehingga tahun 2019. 


Jawapan beliau nyata jauh berbeza daripada kenyataannya pada Selasa minggu lalu iaitu: “Bekalan air akan bertahan hanya selama 29 hari jika air tidak dicatu.” 


Kerajaan PKR Selangor berkeras menolak pembinaan Langat 2, malah sejak 2009 ia juga menolak peningkatan tarif air. Sikap keras kepala oleh kerajaan negeri inilah yang menjadi batu penghalang. 


Kerajaan PKR Selangor yang bersalah dan bertanggungjawab dalam krisis air ini. Tidak sewajarnya mereka memesongkan isu itu dengan mengheret Kerajaan Persekutuan dalam krisis ini. 


Jika mereka meluluskan projek Langat 2 sejak tahun 2009 lagi, pembinaannya pasti sudah siap dan bekalan air kita tidak putus seperti yang dihadapi sekarang. 


Kita perhatikan sejenak pelan alternatif bagi bekalan air oleh Kerajaan PKR Selangor: 


Manifesto pilihan raya pakatan pembangkang menjanjikan bekalan air percuma atau tiada kenaikan dalam tarif air. Matlamat ini mereka cuba laksanakan dengan langkah membeli keempat-empat syarikat air yang ada. Akan tetapi, selepas lima tahun, Kerajaan PKR Selangor masih gagal membeli syarikat berkenaan berdasarkan prinsip ‘willing seller, willing buyer.’ 


Demi memenuhi manifesto pilihan raya mereka, Kerajaan PKR Selangor menyekat sebarang kenaikan tarif air walaupun ia termaktub dalam perjanjian konsesi. 


Akibatnya, syarikat air di Selangor memberikan alasan bahawa tahap kewangan mereka tidak memadai untuk melakukan penambahbaikan infrastruktur serta memulakan projek bagi mengatasi NRW. Mereka hampir gagal membayar semula pinjaman dan mahu membatalkan perjanjian bon. 


Syarikat air ini menyaman Kerajaan PKR Selangor kerana memungkiri kontrak yang ditandatangani. Kerajaan Persekutuan mulai bimbang dengan krisis air yang dijangka tercetus, mahu tidak mahu terpaksa mengambil langkah campur tangan yang pertama. 


Kerajaan Persekutuan bukan hanya terpaksa membelanjakan sehingga RM6.2 bilion untuk mengambil alih bon terbabit, malah sebanyak RM400 juta lagi sudah disalurkan bagi tujuan pengendalian dan penyelenggaraan. 
Ironinya, Kerajaan Persekutuan pula yang harus menggalas beban hutang negara yang meningkat sehingga RM6.6 bilion disebabkan tindakan Kerajaan PKR Selangor yang jelas menggadaikan keperluan rakyat. 


Bukan itu sahaja, selepas langkah campur tangan pertama ini dibuat bagi memberikan sedikit masa, Kerajaan PKR Selangor tetap menolak pembinaan Langat 2 dan enggan meningkatkan tarif air. 


Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan yang sedar akan keadaan genting membabitkan isu air ini bersetuju membantu melalui langkah campur tangan yang kedua kalinya. Di bawah perjanjian persefahaman (MoU) yang baru sahaja dimeterai pada 26 Februari 2014, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan RM9.65 bilion untuk membeli semua syarikat air dan melepaskan semua aset air yang diperoleh itu kepada Kerajaan PKR Selangor untuk mereka kendalikan. 


Campur tangan ini memang ditunggu-tunggu oleh Kerajaan PKR Selangor, malah tidak keterlaluan jika saya ungkapkan tindakan mereka ini sebagai ‘cekik darah.’ Sudahlah mereka pulas Kerajaan Persekutuan untuk membelanjakan berbilion ringgit, sudahnya mereka pula yang mengambil alih pengendalian syarikat air terbabit. 


Tindakan ini hanya kerana mereka mahu menegakkan manifesto pilihan raya untuk menyediakan air yang murah atau percuma. 


Campur tangan kerajaan 


Tahukah mengapa Kerajaan Persekutuan sanggup memeterai perjanjian yang sedemikian rupa? Tindakan campur tangan itu dibuat semata-mata kerana Kerajaan Persekutuan bimbang keadaan rakyat di Selangor. 
Manakan tidak, krisis sekarang membuatkan hidup lebih 1.3 juta isi rumah atau 6.3 juta rakyat cukup perit, apatah lagi 820 projek baharu juga kini ditangguhkan. 


Kerajaan sanggup memeterai perjanjian itu demi kepentingan awam justeru, ia mengetepikan pegangan politik dan sanggup bekerjasama dengan pembangkang agar berupaya mencari jalan keluar daripada krisis air ini. 


Namun, apabila tawaran membeli pada harga RM9.65 bilion juga ditolak oleh syarikat air itu, Kerajaan Persekutuan tiada pilihan selain memutuskan bertindak dengan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) sebagai langkah campur tangan yang ketiga. 


Sungguhpun Seksyen 114 membenarkan Kerajaan Persekutuan mengambil alih pengurusan dan pengendalian air daripada syarikat konsesi air berkenaan, akta ini tidak membolehkan kerajaan mengambil alih hak milik syarikat terbabit. 


Selesai sahaja isu air ini, pengurusan dan pengendalian mesti dikembalikan semula kepada syarikat berkenaan. Yang jelas, jika Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA, isu air ini tetap berlanjutan sehingga pembinaan Langat 2 siap pada 2017. 


Selangor cuba lengah 


Kerajaan PKR Selangor boleh melengahkan usaha Kerajaan Persekutuan dengan (a) enggan meluluskan perintah pembangunan, permit dan tanah bagi Langat 2 dan kedua-dua saluran agihan yang baharu (b) enggan meluluskan projek mitigasi air (c) enggan membenarkan kenaikan tarif air (d) enggan melanjutkan tempoh perjanjian lesen bagi mendapatkan air mentah dari sungai-sungai di Selangor. 


Jika (a), (b) dan (d) berlaku, masalah air akan bertambah teruk. Jika (c) timbul, Kerajaan Persekutuan akan terheret sekali lagi untuk menyuntik dana bagi menampung kos pengendalian. 


Dengan apa jalan sekalipun yang diusahakan, orang awam tetap akan mempersalahkan Kerajaan Persekutuan semata-mata. 


Justeru, Kerajaan Persekutuan memutuskan bahawa Kerajaan PKR Selangor perlu menandatangani perjanjian untuk melaksanakan (a), (b), (c) dan (d) sebelum Kerajaan Persekutuan kuatkuasakan Seksyen 114 WSIA. 


Disebabkan sikap tidak mahu mengalah dalam mempertahankan manifesto pilihan rayanya, Kerajaan PKR Selangor gagal melaksanakan pelan alternatif mereka selepas lima tahun berlalu. 


Rakyat Selangor terpaksa menanggung derita kesan daripada pelan bekalan air Kerajaan Selangor yang ternyata mengecewakan. 


Demi memelihara kepentingan rakyat dan ekonomi Malaysia, Kerajaan Persekutuan terpaksa campur tangan tiga kali berturut-turut dengan menanggung beban kewangan akibat daripada kegagalan itu. 


Penulis ialah Menteri Belia dan Sukan. Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO boleh dihubungi melalui kj@kbs.gov.my atau melalui Twitter @khairykj


Sumber : Bharian

0 Response to "Khairy Jamaluddin: Selangor Patut Disalahkan Atas Masalah Air"

Post a Comment